Jumaat, 8 April 2016

Ayuh kerjakan Johor DT – Devan

Oleh NOR AFIQAH MAT NOR
 
DEVAN (tengah) gigih merencanakan strategi buat pasukan Kelantan dalam misi mereka untuk menamatkan rekod cemerlang Johor DT musim ini.

“KELANTAN harus bangkit dan perlu melupakan kekalahan lalu.”

Demikian tegas ketua jurulatihnya, K. Devan menjelang aksi menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) pada kempen Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu malam ini.

Menurut Devan, beliau mahu pastikan Kelantan menjadi pasukan pertama yang berjaya menundukkan Johor DT pada saingan liga musim ini.

“Saya yakin kami mampu mengecewakan Johor DT de­ngan syarat para pemain tampil dengan aksi terbaik dan melupakan kekalahan kepada T-Team baru-baru ini.

“Semangat untuk bangkit itu perlu ada selain mempergunakan sepenuhnya peluang beraksi di gelanggang sendiri untuk meraih tiga mata penuh,” kata Devan di Kota Bharu semalam.

Devan berkata, pertemuan menentang Johor DT sangat penting bukan sahaja kepada seluruh pemain tetapi juga kepada para penyokong yang meletakkan harapan tinggi untuk melihat Kelantan menumpaskan pasukan gergasi bola sepak negara di bawah bimbingan jurulatih , Mario Gomez itu.

“Saya mahu memastikan Kelantan menjadi pasukan pertama mengalahkan Johor DT musim ini. Saya harap para pemain akan bermain sepenuh jiwa dan mempamerkan semangat juang yang tinggi pada perlawanan itu nanti.

“Kita mahu mendapatkan tiga mata penuh esok (malam ini) dan tidak akan memberi ruang kepada Johor DT untuk meloloskan diri,” katanya.

Bagi merealisasikan impian tersebut, Devan bakal melakukan sedikit perubahan dalam kesebelasan utamanya dan kemungkinan Jonatan Lucca akan kembali beraksi.

“Barisan pemain kita mempunyai kualiti serta kelebihan tersendiri dan kita juga mempunyai rekod yang agak baik ketika menentang Johor DT sebelum ini dan ia memberi kelebihan kepada kami,” katanya.

Dalam pada itu, Devan juga menuntut para pemain supaya mengekang gerakan pemain Johor DT terutama ketua pasukan, Safiq Rahim dan penyerang mereka, Jorge Pereyra Diaz.

“Kekuatan Johor DT adalah di bahagian serangan, tengah dan sayap tetapi kita ada taktikal tersendiri untuk menghadapi perlawanan itu nanti. Kita akan cuba mengunci pergerakan para pemain pasukan lawan yang dianggap sebagai nadi utama mereka,” jelasnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz45EWXmWaB Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan