YATIMIN ABDULLAH | 19 April 2016 12:06 AM
KOTA BHARU 18 April - Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat mahu rakan-rakan sepasukannya berwaspada dengan ancaman Pahang apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan Rabu ini, walaupun Tok Gajah mengharungi kempen yang buruk musim ini.
Khairul Fahmi Che Mat
Katanya, biarpun tidak dibarisi pemain ternama, namun keupayaan Pahang tidak boleh diambil mudah kerana mereka mempunyai pemain muda yang berkualiti.
Malah katanya, Tok Gajah juga dilihat semakin serasi di bawah kendalian jurulatih baharu Razip Ismail.
“Saya harap rakan-rakan sepasukan dapat menampilkan permainan luar biasa dalam perlawanan itu dan fokus kita adalah membawa pulang tiga mata dari Kuantan.
“Mahu atau tidak, kita perlu berjuang habis-habisan untuk memastikan tiga mata menjadi milik Kelantan,” katanya di sini hari ini.
Khairul Fahmi turut menamakan penyerang Tok Gajah, Dalibor Volas sebagai ancaman paling berbahaya kepada Kelantan.
Katanya, hatrik yang dilakukan pemain dari Slovenia itu ketika menumbangkan Perak 4-3 baru-baru ini wajar diberi perhatian oleh pertahanan Kelantan.
“Saya dan barisan pemain pertahanan perlu banyak berkomunikasi untuk mengelakkan benteng daripada mudah dibocori lawan.
“Empat gol yang dihasilkan Pahang dalam perlawanan menentang Perak datang daripada sepakan bebas dan penjuru, jadi kami perlu lebih fokus untuk menghadapi situasi tersebut,” ujarnya.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kelantan-waspada-ancaman-pahang-1.277333#sthash.kpQOqm7N.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan