Rizar Mohd Noorsukan@hmetro.com.my
Johor Bahru: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mario Gomez tidak mahu terlalu memikirkan untuk berada di tangga teratas Liga Super yang kini dikuasai FELDA United.
Malah, pengendali dari Argentina itu menegaskan keutamaan ketika ini adalah membimbing skuad Johor DT mengharungi setiap perlawanan yang perlu ditempuhi dan langsung tidak mahu memikirkan untuk memintas skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim sebaliknya mengambil pendekatan mengharungi satu demi satu perlawanan.
Katanya, saingan liga masih panjang dan tumpuan lebih kepada memperbaiki apa juga kelemahan selain perlu mengharungi jadual padat.
“Saya tidak kisah FELDA United masih berada di tangga teratas kerana itu bukan masalah saya. Apa yang saya utamakan adalah Johor DT bagi memastikan pemain skuad itu berada di tahap permainan berkualiti.
“Kemenangan 5-2 ke atas Sarawak jelas membuktikan pemain sudah melupakan kekalahan 1-2 kepada Kedah pada aksi separuh akhir pertama Piala FA dan ia memberi lebih motivasi kepada pemain untuk terus bangkit.
“Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa kami memperlahankan rentak permainan dan saya ingin menegaskan ia taktikal permainan memandangkan kita akan berdepan aksi lebih getir dengan Kedah di tempat lawan, Sabtu ini,” katanya.
Jelas Gomez, beberapa pemain juga ditukarkan pada babak kedua bagi memberi ruang kepada mereka untuk berehat.
“Taktik memperlahankan permainan bukan kerana kami sudah selesa dengan kemenangan sebaliknya mahu memastikan pemain sentiasa mengawal permainan dan tidak kehilangan bola.
“Saya juga tidak menyalahkan Fadhli Shas yang menjaringkan gol sendiri kerana dia baru saja pulih daripada kecederaan dan belum berada di tahap sebenar,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 8:43 AM
PENYERANG Johor DT Aznie Taib (kanan) diasak pemain Sarawak.
- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/132493#sthash.u9WkSoHF.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan