Sabtu, 9 April 2016

Felda United kembali ke puncak

 
PEMAIN Felda United, Christie Jayaselan (depan terjatuh) diasak keras oleh pemain Selangor, Muhammad Nazmi Faiz pada aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka semalam yang berkesudahan Felda menang 3-1.

FELDA United kembali menerajui takhta Liga Super selepas meraih kemenangan bergaya 3-1 ke atas Selangor pada aksi yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam tadi.

Kemenangan yang diperoleh skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu membolehkan mereka memungut 18 mata, sekali gus meninggalkan pendahulu terdahulu, Johor Darul Takzim (Johor DT) di tangga kedua dengan kelebihan satu mata.

Johor DT sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan Kelantan pada aksi yang berlangsung di Kota Bharu malam tadi.

Tumpuan perlawanan semalam sudah pastinya terarah kepada pertembungan antara Felda United dengan Selangor di Stadium Tun Abdul Razak di Jengka dengan kedua-dua pasukan tampil dengan aksi yang cukup memukau.

Walaupun Selangor yang dilihat lebih bertenaga di awal permainan, tetapi skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu gagal mempertahankan rentak konsisten sebaik Felda United mendapat rentak mereka yang sebenar.

Dengan sokongan padu daripada penyokong tegar mereka, Felda United bagaikan harimau kelaparan apabila tidak jemu-jemu mengasak gawang pasukan Selangor yang menyaksikan mereka memperoleh gol pembukaan seawal minit kesembilan menerusi Rahan Zah Krangar.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama walaupun sebelum itu mereka banyak memiliki peluang untuk menggandakan jaringan.

Aksi pada separuh masa kedua agak seimbang kerana kedua-dua pasukan sering berbalas serangan, namun Selangor lebih bernasib baik kerana berjaya memperoleh gol penyamaan pada minit ke-71 menerusi Patrict Ronaldinho.

Begitupun, ia tidak mematahkan semangat Felda United yang semakin garang melancarkan gerak.

Hasilnya, mereka berjaya menjaringkan dua gol dan sekali lagi menerusi Krangar pada minit ke-75 sebelum Forkey Doe mengesahkan kemenangan 3-1 menerusi jaringan pada minit ke-77.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0409&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz45K8iEnLB Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan