ARKIB : 07/02/2006
KOTA BHARU - Kelantan percaya
kemampuan mereka menewaskan pendahulu Liga Perdana Kumpulan A, Kedah dalam
perlawanan kelmarin akan menjadi titik tolak buat pasukan Pantai Timur itu bagi
melakar kejayaan yang lebih cemerlang musim ini.
Pengurus Kelantan, Azman
Ibrahim berkata, kemenangan ke atas Kedah nyata memberi suntikan semangat buat
pemain-pemain yang selama ini kurang konsisten.
Sehubungan itu beliau yakin
pasukannya akan memperbaiki segala kelemahan pada pusingan pertama sambil
berharap akan berada di landasan sebenar untuk mencapai sasaran terbaik untuk
layak ke Liga Super musim depan.
``Walaupun selepas tamat pusingan
pertama liga kita hanya berada di kelompok pertengahan, namun dengan kemenangan
ke atas Kedah pemain kita memperoleh satu semangat baru.
``Dan kemenangan tersebut juga
adalah hasil kerja keras pemain dan kita amat berpuas hati dengan kesungguhan
mereka.
``Cuma saya harap para
penyokong Kelantan supaya dapat hadir beramai-ramai membanjiri stadium memberi
sokongan berterusan kepada pasukan khususnya Rabu ini yang akan menentang Pulau
Pinang E&O dalam Piala FA,'' katanya.
Dalam perlawanan kelmarin,
Kelantan menumpaskan Kedah 1-0 hasil jaringan Sanif Samui pada minit ke-21
hasil lambungan cantik yang memerangkap penjaga gawang Kedah, Megat Amir
Faisal.
Kedah yang berusaha keras
terutama di separuh masa kedua hampir berjaya memecah kebuntuan.
Namun dua kali tiang gol
Kelantan menjadi penghalang di samping kekentalan benteng pertahan Kelantan
turut menjadi faktor.
Sementara itu jurulatihnya,
Kamaruddin Mohd. Noor pula melihat kemampuan menumbangkan Kedah bakal menjadi
pendorong kepada anak-anak buahnya untuk mencatatkan satu lagi kejutan dalam
Piala FA esok.
Bagaimanapun berdepan dengan
Pulau Pinang E&O bukan tugas mudah buat pemain Kelantan kata Kamaruddin
lagi.
Beliau akan memberi tumpuan
khusus kepada posisi serangan yang dilihat agak tumpul selepas mengharungi
sembilan perlawanan liga setakat ini.
``Saya akan melakukan sedikit
perubahan di posisi tersebut. Bahagian ini penting kerana kita perlu mencari
bekalan gol sebanyak mungkin sebelum bertandang ke Pulau Pinang pada minggu
hadapan.
``Sudah tentu kita akan
menggempur kubu Pulau Pinang habis-habisan bermula seawal minit pertama lagi
dan saya optimis kita mampu mengulangi kejayaan cemerlang musim lalu sebelum
tewas tipis kepada penyandang juara, Selangor di suku akhir,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz44qTLvmmw
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan