Jumaat, 22 April 2016

Rekod bersih K. Lumpur lebur

 
PENYERANG Melaka United, Ilija Spasojevic (tengah) dihalang pemain pertahanan Kuala Lumpur, Ahmad Azlan Zainal (kanan) pada aksi Liga Premier di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi yang berkesudahan tuan rumah menang 2-1.

REKOD tanpa kalah Kuala Lumpur pada kempen Liga Premier akhirnya lebur ekoran kekalahan 1-2 kepada Melaka United di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi.

Kemenangan tersebut terus mengukuhkan kedudukan Melaka United selaku pendahulu liga dengan mengumpul 21 mata selain kekal dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi sembilan perlawanan.

Pada aksi malam tadi, skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris itu tampil bergaya bagi mencapai impian mereka untuk mengekalkan rekod bersih pada aksi di gelanggang sendiri.

Walaupun dikejutkan dengan gol awal oleh pasukan pelawat seawal minit pertama menerusi jaringan Aselmo Arruda da Silva, ia sedikit pun tidak menjejaskan rentak permainan Melaka United.

Dengan sokongan padu daripada para penyokong setia mereka, skuad yang mendapat jolokan Hang Tuah itu terus garang melancarkan serangan dan hasilnya, mereka berjaya memperoleh gol penyamaan pada minit ke-27 menerusi jaringan Ilija Spasojevic.

Gol penyamaan tersebut telah menyuntik semangat barisan pemain Melaka United yang terus ghairah melancarkan asakan, namun benteng pertahanan Kuala Lumpur kental bertahan.

Kuala Lumpur pula tidak mudah menyerah tetapi usaha mereka untuk menambah jaringan menemui kebuntuan.

Begitupun, tuan rumah kembali berpesta pada minit ke-31 apabila memperoleh gol kedua menerusi jaringan Jasmir Mehat bagi membolehkan Melaka United mendahului 2-1.

Aksi separuh masa kedua dilihat lebih seimbang dengan kedua-dua pasukan sering berbalas serangan namun usaha untuk meloloskan diri menemui kegagalan.

Pada minit-minit terakhir perlawanan, Melaka United sudah mula memperkemaskan jentera pertahanan mereka bagi menghalang kemaraan Kuala Lumpur dan strategi tersebut berhasil apabila kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz46bBZx7xH Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan