Jumaat, 29 September 2017

Jangan biarkan 'awang import' monopoli barisan depan



Kongsi artikel
 
NOR Farhan hanya mampu duduki tempat keenam dalam senarai 10 penjaring terbanyak Liga Super musim lalu.

RAMAI yang memperkatakan tunjang kekuatan sesebuah pasukan bola sepak terletak pada ketajaman barisan hadapan untuk menjaringkan gol.

Selain itu, turut memainkan peranan penting ialah kekebalan barisan pertahanan dan kebolehan barisan tengah untuk membuat umpanan yang menarik serta membaca gerakan lawan.

Mungkin ada betulnya memandangkan kebanyakan pasukan Liga Malaysia (Liga M) lebih gemar membeli pemain import untuk dijadikan mesin pencetak gol pasukan masing-masing.

Sejumlah 40 gol dihasilkan dalam 12 perlawanan pertama Liga M musim lalu. Statistik menunjukkan barisan pemain awang import memonopoli senarai penjaring terbanyak dengan 24 gol manakala pemain tempatan hanya mampu meraih 11, tidak termasuk 5 jaringan pemain Lions XII.

Persoalan di sini, semakin tumpulkah penyerang tempatan kita? Di mana perginya penyerang bola sepak negara yang satu ketika dulu amat digeruni pasukan-pasukan dari rantau Asia?

Adakah statistik penjaring Liga M 2014 bakal berulang?

Di sebalik 731 jaringan yang berjaya dihasilkan sepanjang kempen Liga Super dan Perdana 2014, pemain tempatan hanya mampu menjaringkan 395 gol.

Kita hanya berbangga dengan Nor Farhan Mohamed dan S Chanturu dalam kedudukan 6 dan 7 senarai 10 penjaring terbanyak Liga Super dengan masing-masing menyumbat 7 dan 5 gol manakala Liga Perdana menyaksikan pemain senior, Indra Putra Mahyudin (10 gol) di tempat ke 8 dan Bobby Gonzales (8 gol) tempat ke 9.

Sindrom 'gerhana gol'

Mana perginya nama-nama besar seperti Safee Sali, Mohd Amri Yahyah, Manaf Mamat, Norshahrul Idlan Talaha, Tamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri? Adakah sindrom `gerhana gol' melanda penyerang negara dalam Liga M?

Selepas kejayaan Indra meraih gelaran Kasut Emas Liga Super 2004, belum ada lagi anak tempatan yang berjaya meraih gelaran itu sehingga sekarang.

Faktor ini sedikit sebanyak memberi impak kepada pasukan kebangsaan di arena antarabangsa. Ketumpulan barisan depan telah banyak kali menggagalkan skuad Harimau Malaya. Ini terbukti pada Piala Suzuki AFF 2014 walaupun Malaysia berjaya menjadi naib juara.

Pemain tengah, Safiq Rahim dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan 4 gol manakala Safee, Norsharul dan Amri hanya mampu sekali menemui jaring.

Senario yang jauh berbeza apabila pengambilan pemain import dimansuhkan pada tahun 2009 menyaksikan Safee Sali dinobatkan selaku penjaring terbanyak pada edisi 2010 dan seterusnya menjadi penyerang terbaik Asia Tenggara.

Safee turut ditawarkan kontrak lumayan untuk beraksi dengan pasukan Liga Super Indonesia, Pelita Jaya FC.

Mungkin sudah tiba masanya untuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan semua pasukan yang bertanding melihat kesan negatif yang terhasil daripada penggunaan dua awang import di bahagian serangan.

Walaupun kemunculan mereka ini bertujuan untuk memberi pengalaman kepada pemain tempatan, meningkatkan daya saing pasukan Malaysia di pertandingan peringkat Asia dan menarik kembali minat pengikut bola sepak tempatan ke stadium, ternyata pemain kita, baik yang senior mahupun bekas pemain Harimau Muda, gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Semua pasukan yang bertanding harus memikirkan masa depan bola sepak Malaysia bukan hanya memikirkan kejayaan pasukan dalam Liga M semata-mata.

Pendedahan berterusan dalam setiap perlawanan harus diberikan kepada penyerang muda untuk menggantikan nama-nama besar seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, James Wong, Hassan Sani, Matlan Marjan, Datuk M Chandran, Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan dan Safee serta Norshahrul sendiri.

FAM harus memikirkan satu mekanisma untuk meningkatkan kesedaran ini dalam kalangan pasukan yang bertanding walaupun pasukan-pasukan ini mempunyai hak untuk menentukan barisan pemain yang mereka idamkan.

Jika dibiarkan, tidak mustahil Malaysia akan ketandusan penyerang yang berbisa untuk membawa cabaran negara di pentas antarabangsa.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 12 Jun 2016 | 5:09pm

Sabtu, 23 September 2017

UPB/MyTeam makin unggul



ARKIB : 07/04/2007

KUALA LUMPUR – Kedudukan UPB/ MyTeam mengemudi persada teratas liga bagaikan sukar digugat apabila mudah menewaskan KL Plus 2-1 dalam saingan bola sepak Liga Perdana di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Biarpun hujan lebat sedikit menjejaskan rentak permainan namun ia tidak menghalang UPB/MyTeam untuk meraih tiga mata berharga untuk mengukuhkan kedudukan tangga teratas liga dengan 24 mata ketika saingan terdekat Polis tewas 3-1 kepada Sabah.

Dua gol jaringan menerusi Harris Safuan pada minit ke-22 dan penyerang kebangsaan Mohd. Nizaruddin Yusof pada minit ke-68 manakala gol saguhati KL Plus dijaringkan oleh Martin Carlos di minit 82.

Di Stadium Likas, Sabah mengutip tiga mata berharga apabila mudah menewaskan Polis 3-1.

Bagaimanapun tuan rumah dikejutkan dengan gol awal Polis menerusi pemain veteran B. Rajanikandh pada minit ke-50.

Selepas kebangkitan Sabah bermula apabila Silvester Sindih menyamakan kedudukan pada minit ke-68.

Sabah terus mengukuhkan kedudukan apabila penjaring terbanyak mereka Charles Obi meledakkan dua jaringan pada minit ke-74 dan 81.

Di Stadium Sultan Mohd Ke-IV Kelantan menarik nafas lega sekadar mengutip satu mata apabila seri 2-2 berdepan Shahzan Muda.

Shahzan Muda membuka jaringan pada minit ke-14 menerusi Abdulafeez Abdul Salam tetapi disamakan oleh Gustavo Alberto Romero pada minit ke-22.

Giliran Faizol Che Noh meletakkan Kelantan pada minit ke-25 tetapi pelawat mengikat kedudukan 2-2 menerusi Abdulafeez lima minit selepas itu.

Di Stadium Darul Aman, kelebihan bermain di tempat sendiri gagal digunakan oleh Kuala Muda Naza apabila sekadar seri 0-0 bertemu PKNS mengumpul 17 mata untuk kekal di tangga ketiga liga.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), ATM sekadar terikat dengan keputusan seri 0-0 dengan Kuala Lumpur.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tVggl1bN
© Utusan Melayu (M) Bhd

UPB-MyTeam tetap unggul



 
ARKIB : 04/04/2007
Penyerang import Shahzan Muda, Victor Alejandro Gonzalez (terduduk) diasak tiga pemain Sabah dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana di Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam. Kedua-dua pasukan terikat 0-0. – Gambar RUSHDI SALLEH.

KUALA LUMPUR – Teraju persaingan bola sepak Liga Perdana kekal milik UPB-MyTeam selepas gol pemain importnya, Mijo Dadic membantu mengikat Johor-Pasir Gudang 1-1, semalam.

UPB-MyTeam mengumpul 21 mata hasil jaringan penyamaan pada minit ke-26 di Stadium Shah Alam itu biarpun pelawat mengejutkannya dengan gol Mohd. Syukri Ismal, enam minit sebelumnya.

Keputusan seri oleh anak buah Bojan Hodak itu bagaimanapun cuma menjarakkan mereka dengan dua mata daripada pencabar di tangga kedua, Polis yang tidak bermain semalam.

PKNS pula merapati Polis di tempat ketiga selepas menewaskan KL PLUS 3-1 di Stadium Petaling Jaya sekali gus mengumpul 16 mata daripada 10 perlawanan setakat ini.

Persembahan hambar Shahzan Muda dengan Sabah sepanjang 90 minit pula berkesudahan mereka terikat tanpa jaringan di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Ia bererti kelab tuan rumah bimbingan Tajuddin Nor itu masih tidak berganjak di tangga keempat liga selepas mengumpul 13 mata tetapi membuka peluang kepada Kelantan untuk memintasnya, tidak lama lagi.

Kesempatan buat Kelantan terhidang selepas membenam Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sekali gus berjaya mengumpul 12 mata dan melonjak ke tangga kelima.

Angkatan Tentera turut melonjak dari tangga kedua terbawah hasil jaringan tunggal Steven Nod pada minit ke-23 yang membenam Kuala Muda Kedah 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tVVIt0NY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 22 September 2017

UPB-MyTeam sukar digugat



 
ARKIB : 24/03/2007
TONGGAK KL Plus, Martin Carlos Dell Avanzatto (kiri) mengasak pemain UPB-MyTeam, Mijo Dadic (kanan) dalam saingan bola sepak Liga Perdana di Stadium Shah Alam, malam tadi.

KUALA LUMPUR – UPB/MyTeam terus mengungguli kedudukan tangga teratas apabila berjaya menewaskan KL Plus 1-0 dalam saingan bola sepak Liga Perdana di Stadium Shah Alam, semalam.

Kemenangan keenam daripada lapan perlawanan memastikan UPB/MyTeam mengutip 20 mata dengan kelebihan empat mata untuk mengatasi Polis yang berada di tangga kedua.

Gol kemenangan UPB/MyTeam dijaringkan oleh pemain import, Dejan Milajnic pada minit ke-28.

Milajnic mendapat hantaran jauh Marin Mikac dan berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum mudah menolak masuk menewaskan penjaga gol KL Plus.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Shahzan Muda mengutip tiga mata penuh sambil berpesta gol menewaskan Kelantan 5-1. Victor Alejandro Gonzalez meledakkan dua jaringan pada minit ketujuh dan 33 mengejutkan Kelantan.

Dua gol Shahzan Muda menerusi Mohd. Sarulnazwan Ibrahim pada minit 12 dan 50 menjadikan kedudukan 4-0 terus menenggelam kekuatan Kelantan dan tuan rumah menambah gol kelima hasil jaringan Abdulafees Abdul Salam di minit ke-42.

Sementara gol saguhati Kelantan dijaringkan oleh Amini Ahmad Tabarani pada minit ke-51.

Di Stadium MBPJ Kelana Jaya, penyerang import Roman Chimelo muncul hero apabila menjaringkan gol kemenangan membantu PKNS meraih tiga mata penuh menewaskan Kuala Muda Naza 2-1.

Kemenangan itu membolehkan PKNS mengutip 12 mata untuk berada di tangga ketiga. Tuan rumah membuka jaringan awal mendahului Kuala Muda Naza 1-0 hasil jaringan Mohd. Alopi Mahmud pada minit ke-40.

Pada babak kedua Kuala Muda Naza yang ketinggalan 0-1 terus menggandakan asakan bertubi kali ke kubu PKNS dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Shahrizat Mat Rani pada minit ke-54.

Bagaimanapun pelawat dikejutkan dengan gol kedua PKNS menerusi jaringan Chimelo pada minit ke-78.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tPsZasbb
© Utusan Melayu (M) Bhd

UPB/My Team sukar digugat


ARKIB : 14/03/2007

KUALA LUMPUR – UPB/My Team mengambil alih peneraju buat sementara setelah mudah menewaskan Kelantan 2-0 dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, semalam.

Kemenangan tersebut memastikan UPB/My Team mengutip 17 mata memintas Polis yang tidak dapat beraksi menentang KL Plus di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dibatalkan akibat keadaan padang yang teruk.

Perlawanan Polis-KL Plus akan diadakan di Stadium Selayang malam ini.

Gol kemenangan My Team dijaringkan oleh Dejan Milianic pada minit ke-11 dan Mohd. Haris Safwan di minit ke-17 untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik.

Di Stadium Likas, Sabah sekadar mengutip satu mata setelah hanya mampu seri 2-2 dengan Johor Pasir Gudang.

Di Stadium Darul Aman, Kuala Muda Naza mengutip tiga mata berharga apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Shahzan Muda.

Di Stadium MPS Selayang PKNS mengutip tiga mata berharga apabila mudah menewaskan ATM 3-1.

Sementara itu, dalam perlawanan Liga Super, Negeri Sembilan terus hampa untuk mengutip tiga mata berharga setelah hanya mampu seri 2-2 bertemu Perak di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Gol-gol Negeri Sembilan dijaringkan oleh Anuar Jusoh (m-42) dan Fhahurain Abu Samah (m-44) manakala Perak memperoleh gol menerusi Ahmad Shahrul Azhar (m-37) dan Muhammad Khalid Jamlus (m-73).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4tOMz7JMS
© Utusan Melayu (M) Bhd