Ahad, 19 November 2017

Kedah juara Liga Super

ARKIB : 13/04/2008
 
PEMAIN-pemain Kedah meraikan kejayaan mereka mengekalkan kejuaraan Liga Super musim ini selepas menewaskan Terengganu 2-1 di Stadium Darul Aman, malam tadi.

KUALA LUMPUR - Kedah mengekalkan kejuaraan Liga Super musim ini apabila menewaskan Terengganu 2-1 di Stadium Darul Aman, semalam.

Kejuaraan Kedah itu muncul lebih awal apabila pencabar terdekat, Selangor dibelasah Pulau Pinang 1-4 di Stadium Bandaraya.

Pemain import, Bernard Hugging memastikan Kedah memperoleh mata ke-53 liga, iaitu kedudukan yang tidak mampu lagi dipintas Selangor menerusi tandukan hasil sepakan sudut pada minit ke-86.

Terdahulu, tuan rumah di depan hasil jaringan Marlon Alex James menerusi sepakan bebas dari luar kotak penalti.

Terengganu cuba bangkit dan menemui gol penyamaan pada minit ke-50 menerusi Mohd. Ashaari Shamsuddin.

Sejurus wisel penamat dibunyikan, hampir 30,000 peminat yang membanjiri Stadium Darul Aman berpesta meraikan kejuaraan Liga Super yang kekal milik pasukan Kenari.

Para pemain dan pengurus Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berarak di sekeliling stadium sambil melambai ke arah penonton.

Peluang Kedah untuk muncul juara lebih awal tanpa perlu menunggu tiga baki perlawanan sememangnya telah diduga sebelum perlawanan ekoran malang yang menimpa Selangor yang dipotong tiga mata, gara-gara bersalah kerana empat pemain mereka pulang awal pada sesi akhir klinik Ian Rush, baru-baru ini.

Namun, tanpa mengambil kira rayuan Selangor ke atas hukuman mereka kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diterima atau sebaliknya, Kedah sah bergelar juara apabila Pulau Pinang meranapkan sisa-sisa harapan Selangor.

Pulau Pinang mengejutkan Selangor apabila mendahului 2-0 menerusi jaringan Mohd. Azrul Ahmad dan Amir Shahreen Abd. Mubin minit ke-28 dan ke-59 sebelum jaringan Safee Sali minit ke-63 untuk cuba mendekatkan kedudukan.

Selangor terus kecewa apabila Mohd. Azrul sekali lagi menggegar gawang pada minit ke-65 dan Mohd. Farizal Rozali mengesahkan kemenangan besar pasukan di tangga tercorot itu pada minit ke-72.

Sementara itu, NS Naza memintas Perak untuk naik ke tangga ketiga liga apabila menewaskan pasukan Seladang 3-1 di Stadium Tuanku Abd. Rahman, Paroi.

Tuan rumah selesa di depan 3-0 menerusi Mohd. Zaquan Adha (m-23), Udo Fortune (m-45) dan penalti Lamin Conteh pada mini ke-56.

Perak hanya memperoleh jaringan sagu hati pada minit ke-80 menerusi Carlos Caceras.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ysJljMBx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan