Sabtu, 25 November 2017

Perak syor gantung seumur hidup

ARKIB : 28/04/2008
IPOH - Bekas pemain kebangsaan tahun 60-70an, Baharin Khamis mencadangkan pemain yang terlibat mengatur perlawanan dihukum gantung seumur hidup sebagai pengajaran merosak imej bola sepak negara.

Baharin menegaskan, hukuman keras itu akan turut menjadi iktibar kepada pemain-pemain lain supaya tidak melakukan kesalahan yang sama.

Beliau yang juga Ahli Majlis Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) akan mencadangkan hukuman keras itu kepada persatuan berkenaan jika pemain Perak terlibat dalam gejala yang menjijikkan itu.

Namun begitu, beliau setakat ini tidak mendengar sebarang desas-desus pemain Perak terlibat dalam perbuatan berkenaan.

''Jangan kasihan terhadap pemain-pemain tersebut kerana mereka sudah mengetahui akibatnya jika melakukan perkara terkutuk itu.

''Biarkan pemain-pemain yang terlibat itu menjadi penonton sahaja sepanjang umur kerana mereka merupakan dalang utama kepada perosak imej bola sepak negara," tegas Baharin ketika dihubungi di Ipoh, semalam.

Menurut Baharin, rasuah akan membuatkan stadium kembali kosong kerana para penonton berasa ditipu 'hidup-hidup' oleh pemain-pemain yang tidak bertanggungjawab itu.

Baharin mengakui terdapat sebilangan penonton sudah menjauhi stadium kerana ditipu oleh para pemain dalam gejala rasuah antara tahun 1994- 1995.

''Kini keadaan bertambah parah dengan tindakan kali kedua para pemain menjual perlawanan yang mana memungkinkan para penonton tidak mahu lagi menjejak kaki di stadium jika perlawanan bola sepak diadakan," tambahnya.

Beliau yang pernah menjadi jurulatih Perak berkata, sikap tamak para pemain sekarang mungkin membuatkan mereka gelap mata untuk menerima habuan berkenaan.

Baharin berkata, seorang pemain dalam Liga Malaysia menerima gaji bulanan antara RM3,000 hingga RM8,000 dan bonus perlawanan antara RM500 hingga RM2,000 setiap perlawanan tetapi sanggup melakukan perbuatan berkenaan.

''Apa lagi yang mereka mahu.... masih tidak cukupkah bayaran yang mereka terima itu," jelas Baharin dengan penuh nada geram.

Beliau berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan semua persatuan negeri supaya mengambil tindakan keras terhadap para pemain yang terlibat bagi membendung gejala berkenaan.

Katanya, bola sepak Malaysia akan hancur jika gejala berkenaan tidak dibendung.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4zR5PcOHG

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan