Sabtu, 25 November 2017

Siasat mungkin ada lagi pasukan negeri lain terlibat - Ibrahim

ARKIB : 27/04/2008
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menyiasat gejala rasuah dalam bola sepak digesa supaya turut menyiasat semua pasukan dalam Liga Malaysia yang mungkin turut terlibat dalam mengatur keputusan perlawanan.

Bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad (gambar) berkata, ini kerana berdasarkan pengalamannya, skandal mengatur perlawanan lazimnya tidak hanya melibatkan satu atau dua pasukan sahaja.

Menurut Ibrahim, kemungkinan tersebut ada kerana rasuah mengatur keputusan perlawanan juga boleh melibatkan banyak pasukan.

''Saya merupakan orang pertama yang membuat laporan berhubung masalah rasuah dalam bola sepak yang berlaku pada pertengahan tahun 1990-an.

''Berdasarkan pengalaman daripada skandal tersebut, kalau ada satu atau dua pasukan yang terlibat dalam rasuah, ada banyak lagi pasukan yang terlibat.

''Rasuah dalam sukan ini tidak mungkin hanya melibatkan dua pasukan sahaja.

''Untuk itu pasukan lain juga perlu disiasat dalam soal ini,'' tegasnya yang berada di Mekah ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Beliau yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengulas gejala rasuah yang kembali menghantui bola sepak tempatan dengan terbaru seorang bekas pemain Sarawak direman di Kuching, kelmarin untuk soal siasat.

Menurut Ibrahim, maklumat mengenai penglibatan pasukan lain boleh diperoleh daripada pemain yang ditahan (kerana disyaki rasuah).

''Daripada pemain yang disoal siasat, kita boleh tahu perlawanan mana yang telah diatur keputusannya,'' katanya.

Tambahnya, ini merupakan kali kedua rasuah dikesan dalam liga bola sepak tempatan dan dalam hal ini FAM perlu bertindak sekeras-kerasnya kerana ia melibatkan imej negara.

''FAM perlu menyiasat semua pihak dari pemain, pengurus sehingga ke jurulatih supaya gejala ini dapat dihapuskan,'' katanya.

Ibrahim menambah, cadangan FAM untuk menggantung saingan Piala Malaysia jika gejala rasuah semakin serius, bukan langkah tepat.

Menurutnya, membatalkan perlawanan tidak akan menyelesaikan masalah rasuah.

''Apa yang penting sekarang ialah menghukum mereka yang terlibat sama ada pemain, pegawai atau sesiapa sahaja yang terlibat.

''Saya menganggap dengan membatalkan perlawanan, ia memberi gambaran yang sangat tidak baik terhadap sukan bola sepak kita kepada dunia luar,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zR3acdQa

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan