Sabtu, 13 Februari 2016

Farizal jadi hero JDT

FADHILUL IZMEL ISHAK  |  14 Februari 2016 2:36 AM

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memeluk ketua pasukan JDT Safiq Rahim ketika meraikan kejayaan memenangi perlawanan sumbangsih semalam.

KUALA LUMPUR - Penjaga gol Mohd. Farizal Marlias menjadi wira Johor Darul Ta’zim apabila menyelamatkan tiga sepakan penalti untuk membantu juara Liga Super itu mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah setelah menewaskan Selangor 7-6 dalam perlawanan sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru semalam.
Kedua-dua pasukan sebelum itu terikat 1-1 selepas Selangor menyamakan kedudukan pada minit ke-60 menerusi jaringan Hafiz Kamal setelah pemain tengah Hariss Harun meletakkan tuan rumah di depan hasil tandukan pada minit ke-45.
Perlawanan terpaksa diheret ke sepakan penalti penentuan yang menyaksikan Farizal menepis tendangan Mauro Olivi, R. Gopinathan dan Mohd. Azrif Nasrulhaq.
Kedua-dua pasukan bagaimanapun berkongsi satu mata kerana perlawanan itu turut dijadualkan sebagai perlawanan pembuka tirai Liga Super musim ini.
Sementara itu, jaringan pada penghujung permainan oleh penyerang dari Argentina, German Pacheco berjaya menyelamatkan maruah Pahang yang seri 2-2 ketika bertemu Terengganu FC II (TFCII) di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Pahang lebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-20 menerusi ja­ringan Dalibor Volas, tetapi kelebihan mereka tidak bertahan lama apabila Muhd. Safawi Rasid menyamakan kedudukan pada minit ke-71.
Berpunca daripada kesilapan penjaga gol Pahang, Nasril Nourdin memberi peluang kepada skuad The Titans untuk mendahului hasil jaringan Izzaq Faris Ramlan pada minit ke-88 tetapi Pacheco berjaya menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki seminit.
Felda United, yang kali pertama beraksi di gelanggang rasmi baharu mereka, mengutip tiga mata penuh apabila berjaya menewaskan juara Liga Perdana pada musim lalu Kedah 2-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.
Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim bagaimanapun terpaksa menanti hingga perlawanan memasuki babak kedua untuk merobek gawang lawan menerusi jaringan Lutfulla Turaev pada minit ke-65 dan selang empat minit kemudian penyerang dari Liberia, Zah Rahan Krangar meledak gol kemenangan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut meraih tiga mata apabila menang tipis 1-0 ke atas Sarawak di Stadium Hang Jebat, Melaka hasil jaringan penyerang Maldives, Asfaq Ali pada minit ke-76.
Terengganu pula memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri apabila berjaya menewaskan satu lagi pendatang baharu Liga Super, Pulau Pinang 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
Jaringan tunggal perlawanan dijaringkan oleh penyerang Argentina, Gustavo Lopez pada minit ke-24 apabila sepakan leretnya dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol skuad Harimau Kumbang, Sani Anuar Kamsani.
Tuan rumah turut memperoleh peluang untuk menambah jaringan bagaimanapun Issey Nakajima gagal menyempurnakan sepakan penalti.
Di Stadium Perak, Ipoh, skuad tuan rumah Bos Gaurus dan Kelantan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata apabila menamatkan perlawanan tanpa jaringan.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/farizal-jadi-hero-jdt-1.190165#sthash.OqdMFeYr.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan