Jumaat, 5 Februari 2016

Felda United sasar satu trofi

Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI
 
BARISAN pemain serta pegawai skuad Felda United bagi musim 2016 pada Majlis Memperkenalkan Pemain dan Pelancaran Jersi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang kelmarin.

TINGGAL beberapa hari sahaja lagi saingan Liga Super 2016 akan membuka tirainya dan setiap pasukan dilihat me­lakukan persiapan rapi bagi menghadapi saingan yang dijangka berlangsung sengit pada musim ini.

Felda United tidak terkecuali apabila memperkasakan pasukan dengan membawa masuk lapan pemain baharu termasuk dua pemain import selain mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bagi membina keserasian dalam kalangan pemain.

Jurulatih skuad yang mendapat jolokan The Fighters itu, Irfan Bakti Abu Salim optimis skuad kendaliannya itu mampu mencapai sasaran sekurang-kurangnya menjulang satu trofi pada musim ini sekiranya mampu mengelakkan krisis kecederaan.

“Bagi saya, sasaran untuk menjulang satu trofi pada musim ini merupakan satu tugas berat buat saya dan pemain, namun itulah harapan yang diletakkan pihak pengurusan kepada kami tahun ini.

“Bagaimanapun, dengan barisan pemain yang ada pada musim ini, saya yakin kami mampu untuk lakukan sesuatu, ditambah pula dengan kemasukan beberapa pemain baharu.

“Paling penting, para pemain harus mengelak daripada sebarang kecederaan dan mereka perlu tunjukkan kemahuan yang tinggi serta permainan yang menarik,” kata Irfan kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang malam kelmarin.

Sementara itu, Irfan menjelaskan pasukan bimbingannya itu semakin serasi dengan keadaan padang di Stadium Tun Abdul Razak (STAR) selain mengakui Felda mahu mengurangkan bilangan pemain berusia di dalam pasukan tersebut.

“Bermain di stadium baharu, kami perlu membiasakan diri dengan padang rumput tiruan ini. Bagaimanapun, saya akui pemain-pemain mula selesa dengan padang ini selepas beraksi hampir lima kali pada aksi pra musim.

“Saya juga nak kurangkan pemain-pemain yang agak berusia dalam pasukan, namun kita kekalkan dua pemain veteran iaitu Shukor Adan dan Khairul Ismail berdasarkan pengalaman yang mereka miliki,” ujar bekas pengendali Selangor itu lagi.

Felda mengharungi musim yang cukup meyakinkan pada musim lepas apabila menamatkan saingan liga di tempat kelima selain mara ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia sebelum tewas kepada Kedah.

Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Felda Wilayah (PBFW) Jengka menjuarai Piala Pengerusi Felda selepas menewaskan PBFW Gua Musang 3-1 pada aksi final yang disaksikan sendiri Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3zM87hnCe Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan