Rabu, 10 Februari 2016

Jangan layan kami begini – Amiridzwan


  


10 Februari 2016 12:34 A
KUALA LUMPUR - Bekas pertahanan Kelantan, Amiridzwan Taj Tajuddin mendakwa, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak bersikap adil kepada dirinya dan empat lagi pemain yang masih berdepan masalah tunggakan gaji.
Menurut Amiridzwan, pemain Kelantan yang lain sudahpun menerima tunggakan gaji masing-masing, kecuali lima pemain yang meninggalkan skuad The Red Warriors musim ini.
Selain Amiridzwan, yang kini menyarung jersi Terengganu, turut berdepan isu tunggakan gaji dengan Kelantan adalah Amar Rohidan, Ahmad Fakri Saarani, Mohd. Fitri Omar dan Muhammad Nazri Ahmad.
“Bagi saya Kafa tidak bersikap adil kerana pemain lain telah mendapat bayaran kecuali kami berlima yang meninggalkan pasukan.
“Saya terkejut apabila mengetahui pemain yang baru sertai Kelantan pun telah mendapat bayaran mereka, kenapa Kafa buat saya begini?,” kata tonggak pertahanan kebangsaan berusia 29 tahun itu.
Turut meluahkan rasa kecewa adalah penjaga gol Syed Adney Syed Hussein terhadap bekas majikannya Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kami juga mempunyai komitmen seperti membayar rumah, kereta dan belanja seharian.
“Jadi bila tidak dibayar enam hingga tujuh bulan perkara itu menyusahkan kami,” katanya.
“Bila tidak dibayar gaji, situasi itu mengganggu minda pemain. Apabila datang latihan masalah gaji akan menjadi topik, bagaimana hendak bermain bola?,” jelas bekas pemain ATM, K. Reuben pula.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jangan-layan-kami-begini-8211-amiridzwan-1.188576#sthash.o65yKtOv.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan