Sabtu, 13 Februari 2016

Perlis belum sempurna – Dollah

Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
PARA pemain Perlis meraikan kejayaan mereka membelasah ATM 6-1 pada aksi pembuka tirai Liga Premier di Kangar malam kelmarin.

“MASIH terlalu awal untuk memperkatakan kemampuan Perlis, lagipun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.”

Demikian tegas ketua jurulatih Perlis, Dollah Salleh yang enggan mendabik dada dengan kemenangan bergaya pada perlawanan pembukaan Liga Premier musim 2016 selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 6-1, di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar kelmarin.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Dollah berpendapat bahawa anak-anak buah­nya bernasib baik kerana pasukan lawan masih lagi memikirkan beberapa ‘masalah dalaman’ yang dihadapi mereka ketika ini, namun menegaskan masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki dalam misi menjuarai liga musim ini.

“Secara peribadi, saya terkejut dengan persembahan menarik yang ditonjolkan oleh anak-anak buahnya terutama pada babak pertama. Namun, saya anggap kami sekadar bernasib baik atas faktor pasukan lawan mempunyai masalah dalaman selain beraksi di ge­langgang sendiri.

“Bagaimanapun, saya ingin menjelaskan aksi yang kami pamerkan pada perlawanan itu masih banyak kelemahan dan belum sempurna lagi,” kata Dollah ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada perlawanan tersebut, skuad yang mendapat jolokan Singa Utara itu mudah meledak enam gol pada separuh masa pertama menerusi Obinna Nwaneri, Mohd. Alafi Mahmud, Kayne Vincent (dua gol), Mohd. Afif Amiruddin dan Sadam Hashim sebelum pasukan The Gladiators mendapat gol saguhati pada babak kedua menerusi Mohd. Zaironi Yusof.

Dalam pada itu, Dollah memuji persembahan yang dipersembahkan oleh Vincent dan menjelaskan aksi seperti itulah yang diharapkan oleh­nya dan para penyokong dari bekas penyerang kelab Thailand, Buriram United itu.

“Dia beraksi dengan baik ketika sesi latihan pra-musim sebelum ini dan kini dia berjaya membuktikan yang mana dia tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri dengan liga ini,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan sama, pengendali berusia 53 tahun itu mahu anak buahnya kekal fokus kerana perjalanan liga baru sahaja bermula dan memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya menentang UiTM FC, malam esok.

“Saya harap keputusan yang dicatatkan pada malam kelmarin bakal memberi ‘batu lonca­tan’ kepada para pemain untuk beraksi dengan lebih cemerlang pada perlawanan kedua menentang UiTM FC.

“Meskipun beraksi di laman sendiri, saya tidak mahu anak buah memandang rendah kepada pasukan itu berdasarkan mereka turut mencatatkan keputusan yang memberangsangkan pada perlawanan pertama lalu,” katanya.


Sebagai rekod, skuad bimbingan Raja Isa Raja Akram Shah berjaya menundukkan salah sebuah pasukan pilihan, Sabah 4-1, pada perlawanan pembuka tirai Liga Premier di Stadium UiTM, Shah Alam kelmarin.SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz406nCrVFd Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan