Sabtu, 13 Februari 2016

Stadium baharu bawa tuah buat Felda United

 
PENYERANG Kedah, Ahmad Fikri Saarani (tengah) berjaya melepaskan tandukan ke arah pintu gol Felda United pada aksi pembuka tirai Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam tadi yang menyaksikan Felda United menang 2-0.

FELDA United seolah-olah mendapat semangat baharu apabila menang 2-0 ke atas Kedah pada aksi pembuka tirai kempen Liga Super 2016 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang malam tadi.

Biarpun Kedah menguasai permainan pada babak pertama namun anak-anak buah Tan Cheng Hoe itu gagal meloloskan diri untuk memecah kebuntuan.

Tindakan penyudah yang kurang berkesan juga antara punca Kedah terlepas peluang untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada perlawanan tersebut.

Sebaik babak kedua bersambung, rentak Felda United berubah dan mereka dilihat lebih agresif mengatur gerak.

Corak serangan mereka juga lebih terancang dan hasilnya mereka berjaya meloloskan diri untuk menghasilkan gol pembukaan menerusi Lutfulla Turaev pada minit ke-64 yang mudah menyempurnakan hantaran Zah Rahan Krangar.

Jaringan tersebut ter­nyata menyemarakkan semangat anak-anak buah Irfan Bakti apabila Zah Rahan pula menjaringkan gol kedua pada minit ke 68 menerusi tendangan penalti.

Ketinggalan dua jaringan menyebabkan Kedah terus mengasak kubu lawan namun penyerang importnya, Sandro Da silva Mendonca gagal memanfaatkan dua tendangan percuma daripada luar kotak penalti.

Sementara itu, di Stadium Darul Makmur Kuantan, Pahang yang terpaksa meneruskan perlawanan dengan sepuluh pemain seri 2-2 dengan T-Team.

Bermain di tempat sendiri, pasukan Tok Gajah bermula bergaya dan berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-19 menerusi pemain import baharu mereka, Dalibor Volas.

Hantaran pemain sayap, Mohamad Faisal Abd. Halim dari sebelah kiri berjaya disambar Salomon Raj yang melakukan hantaran pendek kepada pemain dari Slovenia itu untuk jaringan pembukaan.

Kegembiraan penyokong Pahang bagaimanapun tidak berpanjangan apabila pemain pertahanan berpengalaman, Mohd. Saiful Nizam Miswan dilayangkan kad merah pada minit ke-33 kerana melawan keputusan pengadil.

Meskipun kekurangan seorang pemain, anak-anak buah Ahmad Shaharuddin tetap mengekalkan fokus perlawanan dan pasukan pelawat hanya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-71 menerusi gol Muhammad Sapawi Rasid.

Dua minit sebelum tamat perlawanan, pemain gantian Izzaq Faris menjaringkan gol untuk Terengganu sebelum pemain import Pahang, German Pacheco menjaringkan gol penyamaan pada minit terakhir perlawanan untuk keputusan 2-2.

Perlawanan-perlawanan lain yang berlangsung malam tadi menyaksikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menang 1-0 ke atas Sarawak pada aksi yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka manakala Terengganu menang tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang di Kuala Terengganu.

Perak pula mengikat Kelantan seri tanpa ja­ringan pada aksi yang berlangsung di Stadium Pe­rak, Ipoh.




SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz406pX4U84 Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan