Khamis, 22 Disember 2016

Tiada pemain di Liga M bernilai jutaan ringgit - Santokh Singh

 
Oleh Syafiq Aznan syafiq.aznan@bh.com.my LEGENDA bola sepak negara, Datuk Santokh Singh membidas betapa kebanyakan pemain tempatan yang memegang tag harga sehingga bernilai jutaan ringgit sebenarnya 'indah khabar dari rupa'. - Foto Hasriyasyah Sabudin KUALA LUMPUR:

"Kalau (Datuk) Mokhtar Dahari barulah layak bernilai jutaan ringgit!," kata legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh. Bekas pertahanan tengah skuad kebangsaan era 70-an itu membidas betapa kebanyakan pemain tempatan yang memegang tag harga sehingga bernilai jutaan ringgit sebenarnya 'indah khabar dari rupa'.

Malah tegasnya, mereka gagal untuk memperagakan kualiti yang setara dengan apa yang dibayar untuk khidmat mereka. "Saya lihat kebanyakan pemain kita dibayar lebih daripada nilai yang sepatutnya dan tidak menunjukkan kualiti sebagai seorang pemain yang layak menerima bayaran begitu tinggi apabila diturunkan ketika beraksi dalam sesuatu perlawanan.

"Jika dinilai jumlah perpindahan dan gaji yang sepatutnya diterima pemain tempatan, mereka seharusnya bernilai sekitar RM10,000 hingga RM15,000 sahaja dengan mengambil kira berdasarkan sumbangan yang diberikan terhadap kelab dan juga pasukan kebangsaan," katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas nilai perpindahan pemain tempatan yang mencecah sehingga jutaan ringgit yang mana situasi ini memberi kelebihan terhadap pasukan yang memiliki sumber kewangan besar untuk mencipta 'pasukan impian' dengan mendapatkan pemain terbaik di seluruh negara.

BH Sukan semalam melaporkan ayam tambatan Selangor, Ahmad Hazwan Bakri sah menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan yuran perpindahan yang difahamkan mencecah kira-kira RM1 juta. Difahamkan, jumlah itu termasuk dengan nilai tebus kontrak yang bernilai lebih RM600,000 selepas kontrak pemain berusia 25 tahun itu masih berbaki setahun dengan The Red Giants. Santokh berkata, beliau mengerti betapa bola sepak kini menjadi satu perniagaan dengan setiap pasukan yang berkemampuan boleh menawarkan apa sahaja jumlah untuk mendapatkan pemain yang diinginkan mereka.

"Namun jika pemain yang dibeli itu tidak memberikan persembahan yang terbaik dan gagal menarik kehadiran penyokong ke stadium, jadi apa gunanya mereka dibayar mahal-mahal. "Bagi saya, jika seseorang pemain itu diletakkan bernilai jutaan ringgit, kualiti mereka sepatutnya setaraf dengan legenda bola sepak negara, Mokhtar tetapi setakat ini, tiada satu pemain pun yang berada dalam kelas yang sama dengan bekas penggempur kebangsaan itu," katanya.


Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/223638

Rabu, 21 Disember 2016

Kedah naik tangga teratas

ARKIB : 06/05/2000
KEDAH melonjak ke tangga teratas selaku pendahulu baru bola sepak Liga Perdana Dua selepas menang tipis 1-0 ke atas Johor FC pada perlawanan di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru, semalam.

Skuad Kenari mengambil kesempatan itu selepas pendahulu sebelum ini, Kelantan cuma mampu seri 2-2 dengan KL Malay Mail di Cheras.

Pemain pertahanan, Khamal Idris Ali menjadi wira Kedah apabila sepakan percumanya dari luar kotak penalti Johor FC pada minit ketujuh menghasilkan gol tunggal perlawanan itu dan tiga mata buat Kenari.

Johor FC berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-14 melalui tendangan Harun Laban, bagaimanapun pengadil perlawanan, Azimi Abdullah membatalkan jaringan itu kerana ofsaid.

Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan terlalu berhati-hati dan kebanyakan bola hanya berlegar di kawasan tengah padang.

Johor FC yang ketinggalan satu gol telah membuat banyak serangan tetapi tersasar kerana penyudah yang lemah.

Kelantan yang berkongsi lima mata di tangga teratas dengan KL Malay Mail, menerima tentangan sengit pasukan tuan rumah sebelum perlawanan tamat dengan kedudukan seri 2-2 di Stadium KLFA, Cheras.

KL Malay Mail lebih dulu membuka jaringan menerusi Mohd. Shah Mohd. Nor pada minit ke-28 tetapi bekas pemain kebangsaan, Annuar Abu Bakar menyamakan kedudukan pada babak kedua minit ke-52.

Begitupun, pasukan tuan rumah kembali di depan enam minit kemudian menerusi U. Suresh tetapi Safri Kassim menyelamatkan maruah Kelantan dengan gol penyamaan sebelum tamat perlawanan.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, dua jaringan penyerang, Sri Jaafar Abdul Rahman memberikan tiga mata penuh buat Melaka yang menewaskan pasukan tuan rumah NS Chempaka 2-1.

Gol-gol Sri Jaafar hasil jaringan mudah di depan gawang lawan pada minit ke-10 dan 59 manakala gol tunggal NS Chempaka oleh R. Sekar minit ke-44.

Di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu, JKR Kelantan turut memungut tujuh mata selepas menewaskan Telekom Melaka 2-1.

Tetapi perbezaan gol lebih memihak kepada Kedah untuk JKR Kelantan menduduki tangga kedua.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4TSNNkc1b © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 20 Disember 2016

Buruan mata buat Perdana Satu hangat

MEI 2000
ARKIB : 06/05/2000
PEMBURUAN mata menjadikan aksi bola sepak Perdana Satu lebih menarik, penuh dengan aksi mendebarkan khususnya bagi pasukan teratas yang mengimpikan kemenangan dalam perlawanan malam ini.

Pendahulu carta Perdana Satu, Negeri Sembilan (11 mata) mengharapkan kemenangan ke atas Johor di gelanggang sendiri Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, untuk mengekalkan kedudukannya.

Namun Johor yang menduduki tangga kelapan (6 mata) daripada 12 pasukan pasti tidak boleh lagi bersabar untuk mencari kedudukan lebih baik sehingga menjanjikan saingan lebih sengit ke atas Rusa.

Begitu juga Pulau Pinang yang melonjak ke tangga ketiga mengumpul sembilan mata menerusi kejayaan menewaskan Selangor 3-0 di Stadium Bandaraya, Selasa lalu.

Pastinya, kemenangan itu melonjak semangat anak-anak buah Irfan Bakti untuk terus memastikan kemenangan berterusan biarpun terpaksa bertandang ke gelanggang lawan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bagi menghadapi pasukan tuan rumah Terengganu.

Di gelanggang sendiri, Terengganu akan mengekang kemaraan Pulau Pinang yang semakin selesa membuka jaringan menerusi Hasmawi Hassan, R. Suresh Kumar dan Ooi Hoe Guan.

Stadium Utama, Kangar pula tetap meniupkan semangat ''Singa Utara'' untuk skuad Perlis yang dibimbing jurulatih Tajuddin Nor berdepan Brunei.

Hasrat mendapatkan mata penuh turut diimpikan Brunei, juara Piala Malaysia tahun lalu yang sudah tentu ingin memperbaiki kedudukannya selepas menghuni tangga tercorot dengan mengutip hanya satu mata.

Sementara, perlawanan di antara Pahang dengan Kuala Lumpur dijangka penuh dengan saingan mendebarkan sebaik kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Darulmakmur.

Tentunya Pahang yang memulakan kempen awal Perdana Satu dengan persembahan merosot ingin mengembalikan kecemerlangan selaku juara Perdana Satu 1999.

Sentuhan penyerang Azizul Kamaluddin diimpikan penyokong setia skuad ''Tok Gajah'' tetapi lawan dihadapi bukannya pasukan belasahan kerana Kuala Lumpur kini merupakan di antara pencabar digeruni apatah lagi mempunyai penyerang kebangsaan Nizaruddin Yusof yang bergandingan mantap dengan Mohd. Farid Dewam.

Walaupun masih banyak lagi perlawanan bakal dihadapi, aksi malam ini tetap menuntut Pahang supaya bermain dengan lebih baik untuk mengejar semula kedudukan teratas sebelum terlewat setelah tersingkir ke tangga sembilan dengan mengumpul lima mata.

Pertemuan antara ''Seladang'' dengan Sarawak juga bakal menyaksikan corak serangan pantas daripada kedua-dua pasukan yang bersaing di Stadium Perak.

Perak dibarisi ramai pemain handalan seperti Azrul Amri Burhan dan tonggak skuad kebangsaan, Syamsol Saad, Ahmad Shahrul Azhar serta V. Saravanan menghadapkan kemenangan selepas menewaskan Brunei 3-2 di Bandar Seri Begawan.

Oleh: ZAINOL AZHAR ASHARI

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TSJcFXmk © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 19 Disember 2016

Tugas berat cari sentuhan awal musim

ARKIB : 18/04/2000
CABARAN awal sudah ditempuhi namun pengalaman dalam saingan pembuka tirai belum melegakan 10 pasukan yang masih mempunyai tugas berat untuk terus menyambung aksi bola sepak Perdana Satu malam ini.

Sekurang-kurangnya perlawanan pertama sebelum ini menjadi ukuran sesebuah pasukan termasuk Perak yang sudah pasti ingin bangkit mencari kemenangan sulung selepas tewas 2-3 kepada Terengganu.

Sehubungan itu, di gelanggang sendiri, Perak akan berusaha untuk menyekat Pulau Pinang tetapi jalan dirintis bukannya mudah kerana skuad ''harimau kumbang'' pernah menewaskan ''seladang'' 1-3 dalam suku akhir pertama Piala FA.

Walaupun saingan berbeza, coran permainan dan kekuatan Pulau Pinang pasti dapat dibaca Perak yang dibarisi pemain kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar, Syamsol Saad, Mohd. Noor Derus dan V. Saravanan.

Sarawak pula bakal berdepan juara Piala Sultan Ahmad Shah (perlawanan Sumbangsih), Kuala Lumpur yang tentunya lebih bersemangat tinggi selepas menjuarai pertandingan tersebut.

Kehandalan penyerang Nizaruddin Yusof yang menjaringkan gol kemenangan ke atas Brunei dalam pertandingan Sumbangsih akan memaksa benteng pertahanan ''Bujang Senang'' bekerja keras sekalipun beraksi di Stadium Sarawak.

Begitu juga Perlis yang menanti kedatangan Terengganu di Stadium Utama, Kangar tetap membayangkan saingan sengit skuad 'Penyu'.

Di Stadium Darulmakmur pula Pahang semestinya mencari kemenangan ke atas Selangor selepas rekod buruk dibenam 1-3 oleh Johor mengundang kemarahan pengurus pasukan Datuk Jamal Nasir Ismail.

Amaran keras bahawa pemain yang tidak mempunyai komitmen akan disingkirkan termasuk amaran terakhir kepada penjaga gawang kebangsaan, Zuraimi Hassan sewajarnya diberi perhatian serius untuk skuad ''tok gajah'' bangkit.

Ini disebabkan Pahang bukanlah pasukan belasahan, malah gelaran skuad elit atau gergasi Pantai Timur menunjukkan betapa pasukan berkenaan perlu disegani.

Walaupun terlalu awal untuk meramalkan kekuatan sebenar Pahang, daripada persediaan rapinya termasuk mendapatkan khidmat pemain kebangsaan, Idris Karim dari Johor dan bekas tonggak Terengganu, Anuar Jusoh, seharusnya ''Tok Gajah'' ''mengamuk'' malam ini atau terus tertekan.

Bagaimanapun, Selangor yang sudah lama mengidam kembali kecemerlangan dalam Liga Malaysia, tetap digeruni kerana mempunyai barisan handalan seperti B. Rajnikandh, Rusdi Suparman dan Zami Mohd. Noor.

Turut menarik perhatian ialah saingan di antara Negeri Sembilan dengan Sabah yang masing-masing mengidam kemenangan selepas hanya mencatat keputusan seri sebelum ini.

Di Stadium Paroi, Sabah seharusnya berwaspada dengan Negeri Sembilan yang menyandarkan harapan kepada panjaring terbanyak Perdana satu 1999, Azman Adnan.

Sementara, juara Piala Malaysia tahun lalu, Brunei yang gagal menyimpan satu lagi piala sebagai koleksi selepas gagal dalam perlawanan Sumbangsih, tetap mahu meneruskan kemaraan apabila berdepan Johor di Di Stadium Hassanal Bolkiah.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4THTM27YZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Kempen Liga Perdana 2000 bermula

ARKIB : 14/04/2000
KEMPEN bola sepak Liga Perdana 2000 membuka tirai dengan Perdana Dua, yang sebahagian besar dibarisi pasukan kelab, memulakan aksi malam ini manakala Perdana Satu, kesemuanya pasukan negeri bertarung esok, lapor JOHARI SHAWAL.

Sesudah setakat mampu pergi sehingga pusingan kedua dalam Piala FA yang kini di peringkat suku akhir, pasukan kelab sebenarnya menjadi halangan utama kepada pasukan negeri dalam Perdana Dua, yang harus bersedia diconteng aib dalam kempen musim ini.

Piala FA juga telah menyerlahkan kehebatan pasukan kelab ini, cuma pengalaman memisahkan mereka dengan pasukan negeri.

Pasukan JKR Kelantan paling menonjol apabila mengejutkan pasukan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan pertama pusingan kedua, sebelum tunduk menyerah kalah 5-1 pada perlawanan kedua untuk memberi laluan kepada Rusa mara ke suku akhir.

Tetapi Perlis telah menjadi mangsa mereka sebelum itu apabila tersingkir awal pada pusingan pertama. Skuad Tajudin Noor tewas pada kedua-dua perlawanan di tempat sendiri dan lawan dengan jaringan 2-1.

Telekom Melaka dan Tentera turut hampir memalukan Kelantan dan Kedah pada pusingan pertama Piala FA.

Telekom Melaka seri 3-3 dengan Kelantan pada perlawanan pertama sebelum tewas 2-1 pada perlawanan timbal balik manakala Tentera mengikat Kedah 1-1 pada perlawanan pertama sebelum kecundang 2-0 pada perlawanan kedua.

Statistik ringkas itu mungkin tidak membabitkan kelab lain, ada antara mereka yang bertemu sesama sendiri dalam Piala FA sebelum disingkir pasukan negeri pada pusingan kedua, tetapi mereka bersedia untuk menconteng aib ke atas pasukan negeri dalam kempen liga kali ini.

Perlis, Kelantan, Kedah dan Melaka harus sedar mereka kini memikul tugas berat untuk menjaga reputasi masing-masing mengatasi kekentalan Telekom Melaka, Johor FC, JKR Kelantan, KL Malay Mail, NS Chempaka dan Tentera yang bersedia membaham mereka.

Johor FC, walaupun tidak lagi dibimbing Ronald Smith, lebih digeruni berdasarkan kejayaan menduduki tempat ketiga musim lalu di belakang Johor dan Selangor yang melangkah ke Perdana Satu, tetapi JKR Kelantan dan Telekom Melaka turut bersedia memberikan saingan.

Pastinya aksi Johor FC-JKR Kelantan di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru malam ini membayangi empat lagi perlawanan termasuk Telekom Melaka-Kelantan (Stadium Shah Alam) dan Tentera-Melaka (Stadium Merdeka).

Aksi Perdana Satu bagaimanapun sukar diramal kerana semua pasukan kelihatan seimbang. Begitupun juara bertahan, Pahang berada pada situasi genting ketika ini apalagi sesudah diaibkan dengan kekalahan 3-0 di tempat sendiri oleh pasukan jiran, Terengganu dalam suku akhir pertama Piala FA Selasa lalu.

Inilah masa terbaik untuk Pulau Pinang, naib juara musim lalu dan Negeri Sembilan membalas dendam selepas dipintas Pahang pada saat akhir kempen 1999.

Namun, kehadiran Johor dan Selangor, juara dan naib juara Perdana Dua musim lalu, harus tidak dipandang sebelah mata oleh semua pasukan Perdana Satu termasuk juara Piala Malaysia, Brunei yang tidak diketahui kekuatannya musim ini.

Usah panik kerana liga baru bermula. Perjalanan masih jauh dan masih ada kesempatan untuk semua pasukan memperbetulkan kesilapan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TGtt1Dlw © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 16 Disember 2016

Liga M perlukan perubahan drastik

ARKIB : 06/03/2000
PERTANDINGAN bola sepak Liga Malaysia memerlukan perubahan drastik bagi meningkatkan semula imej dan mutunya sejajar dengan prestasi terkini sukan itu di negara ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah berkata, perubahan itu perlu kerana ia mampu menjamin pembangunan serta mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.

''Perubahan yang akan dilaksanakan adalah berhubung pengurusan pasukan yang mana pegawai-pegawai yang dinamik dan profesional diperlukan untuk menerajui sesebuah pasukan pada peringkat negeri.

''Jika ia berjaya dipenuhi, imej liga akan berubah dan mampu melahirkan pemain lebih berkualiti dan berkemampuan,'' katanya.

Sultan Ahmad berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Bengkel Pegawai-Pegawai Pasukan Liga Malaysia 2000 di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Bengkel itu dihadiri semua pengurus, jurulatih, pentadbir dan pegawai perubatan pasukan Liga Malaysia musim ini.

Tujuan bengkel itu adalah untuk memberikan pengetahuan khusus berhubung peraturan serta keputusan FAM dalam pengelolaan pertandingan.

Menurut beliau, pasukan-pasukan negeri dalam Liga Perdana pada masa akan datang perlu diuruskan syarikat-syarikat yang memiliki sumber kewangan dan pengurusan yang kukuh.

''Ia sekali gus dapat memberi banyak ruang kepada pasukan itu untuk berusaha serta mampu berdiri di atas kaki sendiri tanpa bergantung kepada bantuan FAM,'' katanya.

Beliau menambah, langkah seumpama itu telah lama diamalkan di negara-negara Eropah, Jepun dan Korea Selatan dan jelas ia memberi kesan positif terhadap pembangunan bola sepak mereka.

''Saya percaya dengan pengurusan yang profesional dan dinamik, kualiti bola sepak dalam liga dapat dipertingkatkan kerana semua pihak akan berusaha untuk mendapat tempat terbaik,'' katanya.

FAM sebelum ini berkata, subsidi penuh kepada persatuan negeri yang diterima mereka tidak akan dapat dinikmati lagi tahun depan setelah langkah itu tidak banyak membawa perubahan ke arah pembangunan bola sepak negara.

Bagaimanapun, jika persatuan negeri mahu terus menerima subsidi berkenaan, mereka hendaklah membuktikan kemampuan masing-masing kerana pada musim depan jumlah subsidi yang bakal diberikan bergantung kepada prestasi sesebuah pasukan itu.

Sultan Ahmad berkata, FAM akan melakukan perubahan terhadap pengelolaan pertandingan yang hala tujunya tertumpu kepada pembangunan.

''Ia akan dikaji dan dibincangkan oleh Majlis FAM dengan harapan dapat mencapai matlamat yang telah ditetapkan,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4T3kZ8LBx © Utusan Melayu (M) Bhd

TNB Kelantan layak sertai Perdana Dua

ARKIB : 05/03/2000
KELAB TNB Kelantan berjaya menempatkan diri sebagai anggota ke-10 liga Perdana Dua musim depan selepas mengatasi cabaran JKR Kedah 2-0 pada perlawanan play-off pusingan kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur semalam.

Kemenangan itu membolehkan TNB Kelantan mara dengan agregat 6-2 selepas mencatatkan kemenangan 4-2 pada pertemuan pusingan pertama di gelanggang yang sama empat hari lepas.

TNB Kelantan jelas menguasai permainan dan semakin selesa menerusi jaringan Saidi Mamat pada minit ke-39.

Gol kedua mereka diperoleh pada minit ke-65 melalui Nordin Mohd. Shukri.

Perlawanan play-off itu diadakan setelah kelab Perkasa Alam dari Terengganu menarik diri dari liga Perdana Dua musim ini.

Jurulatih TNB Kelantan, Alimin Ahmad berkata, beliau berterima kasih kepada para pemainnya yang tetap menunjukkan kesungguhan walaupun turun pada pertemuan semalam dengan kelebihan selesa.

''Saya berterima kasih kepada pemain-pemain saya dan secara keseluruhannya saya puas hati dengan tahap persembahan mereka setakat ini,'' katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Bagaimanapun Alimin berkata, dua perlawanan tersebut turut mendedahkan kelemahan barisan serangan pasukannya dan beliau berharap dapat menggilap bahagian tersebut sebelum kempen Piala FA bermula.

Katanya, prestasi sebenar pasukannya akan hanya diketahui apabila bersaing dalam pertandingan Piala FA.

''Saya akan berbincang dengan pengurus pasukan mengenai kemungkinan mengambil pemain lagi terutamanya untuk mengisi barisan serangan kami,'' katanya yang terpaksa menggunkan khidmat tiga pemain skuad remaja termasuk Saidi dalam perlawanan play-off

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4T0MMCqAJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 29 November 2016

Selangor rampas takhta Perdana Dua

ARKIB : 10/04/1999
SELANGOR merampas kembali takhta bola sepak Liga Perdana Dua apabila menumpaskan Negeri Sembilan Chempaka 4-2 di Stadium Shah Alam, semalam, berikutan kekalahan 0-1 Johor FC kepada pencabarnya.

Selangor membuka jaringan menerusi ketua pasukan, K. Sanbagamaran yang menerima hantaran silang S. Sivaram pada minit ke-13.

NS Chempaka mendapat peluang terbaik menyamakan kedudukan pada minit ke-22, namun tendangan Yusafizan Johar ditampan penjaga gol Selangor, Abdul Hadi Tahir.

Sebaliknya Selangor menambah jaringan menerusi Rusdi Suparman minit ke-24, sementara gol ketiga dan keempat oleh Lim Chan Yew dan Rusdie Ramli pada minit ke-52 dan 73.

Yusafizan bagaimanapun menceriakan sedikit pasukan pelawat dengan jaringan pertama pada minit ke-34 dan gol kedua menerusi Mohd. Rizal Harun pada minit ke-61.

Kemenangan itu menjadikan Selangor pasukan tunggal yang tidak pernah tumpas dalam saingan Perdana Dua.

Mereka mencatat tiga kemenangan dan tiga seri daripada enam perlawanan.

Sementara di Stadium Utama, Kangar Perlis menafikan hajat Johor FC untuk kekal di takhta liga dengan kemenangan tipis 1-0.

Perlis, yang melonjak satu anak tangga daripada kedudukan keempat memperoleh gol tunggal kemenangan menerusi M. Ballan pada minit ke-62.

Ini merupakan kekalahan sulung diterima Johor FC, yang kini jatuh satu anak tangga dengan empat kemenangan daripada enam perlawanan dan kekal 13 mata - satu mata di belakang Selangor.

Rekod tanpa kalah Kelantan turut lebur di Stadium Kubu apabila skuad Pantai Timur itu kecundang 2-0 kepada tuan rumah, Melaka.

Walaupun beraksi dengan berbekalkan dua kekalahan berturut-turut, Melaka berjaya bangkit untuk mengutip tiga mata penuh.

Jaringan kemenangan tuan rumah dihasilkan oleh Sri Jaafar pada minit ke-56 dan tendangan penalti Musa Talib, 25 minit sebelum permainan tamat.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Mohamed ke-IV, Johor mengalami kekalahan ketiga apabila tunduk 1-4 kepada TNB Kelantan.

Ruslan Ismail dan Md. Khairul Anuar muncul wira tuan rumah, apabila masing-masing menjaringkan dua gol pada minit ke-35, 37 dan 83, 97.

Johor memperoleh gol sagu hati menerusi bekas penyerang kebangsaan, Hashim Mustapha pada minit ke-43.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RSs5Z6aj © Utusan Melayu (M) Bhd

Azman tidak hampakan Pulau Pinang

ARKIB : 09/04/1999
BERSANDARKAN barisan sama, Pulau Pinang lebih bersemangat untuk menghadapi Sabah dalam perlawanan Liga Perdana Satu di Stadium Bandaraya, esok.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas Kedah dalam tempoh 90 minit permainan jelas membayangkan betapa Pulau Pinang ''serik'' untuk mencipta keputusan seri yang sering tidak menyebelahi skuad ''Harimau Kumbang.''

Kekalahan 3-5 kepada Sarawak menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam tempoh 90 minit menjadi iktibar betapa Pulau Pinang selaku juara Liga Perdana Satu 1998 memerlukan kemenangan mutlak.

Bagaimanapun, selepas mengharungi perlawanan dengan Kedah, Pulau Pinang kembali berkeyakinan untuk memastikan tiga mata penuh menjadi miliknya.

Jurulatih Moey Yok Ham berkata, Pulau Pinang membuktikan kemampuan untuk menewaskan Kedah yang juga merupakan sebuah pasukan handal sekalipun dibarisi ramai pemain baru.

''Saya berharap, mereka (pemain) akan mempergunakan setiap kesempatan yang terhidang ketika menghadapi Sabah nanti,'' tambah beliau.

Pulau Pinang akan menentang Sabah dengan barisan handalan yang diketuai penyerang berbisa, Azman Adnan untuk mencari kemenangan berterusan bagi mencerahkan peluang mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Satu.

Selain Azman, turut memperkuatkan Pulau Pinang ialah rakan sepasukannya dari Selangor, penjaga gol, Azlisham Ibrahim, Shahril Arsat dan Asmawi Bakiri.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RSlRafPP © Utusan Melayu (M) Bhd

Tok Gajah tunjuk gagah

ARKIB : 04/04/1999
WALAUPUN tanpa kelibat ketua jurulatih, Alan Davidson yang digantung tidak bertali, Pahang tetap unggul di gelanggang sendiri apabila menumpas Negeri Sembilan 5-0 di Stadium Darulmakmur, Kuantan semalam, sekali gus muncul pendahulu baru Liga Perdana Satu.

Kejayaan skuad Tok Gajah dibantu keputusan perlawanan antara dua pasukan teratas liga sebelum ini, Sarawak dan Pulau Pinang yang ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Kemenangan besar Pahang membuktikan mereka masih pasukan elit Pantai Timur.

Azizul Kamaludin memulakan jaringan pada minit ke-10 setelah menerima hantaran jarak jauh Wan Rohaimi Wan Ismail menyaksikan Azmin Azram Aziz tewas pertama kali.

Belum pun pasukan pelawat dapat menarik nafas, satu lagi asakan dilakukan Pahang yang membuahkan gol kedua dan kali ini giliran Wan Rohaimi pada minit ke-16.

Gerakan cantik Ahmad Shaharudin Rosdi yang menggelecek ketua pasukan Negeri Sembilan, Khairil Zainal sebelum melambungkan dan ditanduk Wan Rohaimi menggegarkan jaring gol walaupun penjaga gol pelawat cuba menepis.

Selepas ketinggalan 2-0 Negeri Sembilan seolah-olah hilang haluan dan setiap serangan yang diatur mudah dipatahkan Tok Gajah.

Pahang terus melebarkan penguasaan melalui Alif Rohaimi Azizhan pada minit ke-39 yang bermula daripada gerakan Azaruddin Aziz yang melepasi barisan pertahanan lawan yang mengekang asakan Pahang dengan perangkap ofsaid.

Wan Rohaimi yang menerima hantaran itu terus meluru ke arah penjaga gol, sebelum menyilang kepada Alif untuk menolak masak.

Episod duka skuad Rusa berterusan pada minit ke-16 separuh masa kedua Pahang terus menghukum pasukan bimbingan Irfan Bakti.

Larian pantas Wan Rohaimi dari sebelah kanan padang meninggalkan Khairil Zainal yang kekejangan sebelum melambung bola kepada Ahmad Shaharudin Rosdi yang mudah menanduk masuk.

Shahrulnizam Sahat melengkapkan koleksi gol Pahang malam tadi pada minit ke-76, setelah menerima hantaran lintang Azaruddin sebelum menolak ke dalam gawang gol.

Oleh: BORHAN ABU SAMAH

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RRrCv8Gs © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 26 November 2016

Gol Azman ceriakan P. Pinang

ARKIB : 24/03/1999
SKUAD Harimau Kumbang terus garang mencipta kemenangan kedua apabila menewaskan Brunei 2-0 dalam perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Paling manis, kemenangan tersebut dihasilkan dalam masa permainan sebenar di hadapan hampir 7,000 penonton di gelanggang sendiri.

Penyerang, Azman Adnan memulakan tirai jaringan Pulau Pinang menerusi tendangan penalti pada minit ke-47 sebelum Ooi Hoe Guan menambah gol minit ke-79.

Babak awal separuh masa pertama sekadar menyaksikan kedua-dua pasukan gagal melakukan gerakan cantik tanpa sebarang percubaan berbahaya.

Bagaimanapun kesilapan pertahanan Pulau Pinang hampir mengundang padah apabila Brian Iman Abdullah memperoleh satu kesempatan terbaik tetapi rembatannya terkena badan penjaga gol, Azlisham Ibrahim pada minit ke-16.

Pulau Pinang cuba membalas asakan tetapi kepincangan barisan tengah, memudahkan pertahanan lawan menyekat kemaraan pasukan tuan rumah itu.

Dalam satu kekalutan dalam kubu Brunei, Pulau Pinang mendapat peluang terbaik menerusi Ng Kok Heng namun sepakannya dari jarak 20 meter terkeluar pada minit ke-33.

Sekali lagi, Pulau Pinang kembali cemas apabila Brian melepasi benteng pertahanan tuan rumah. Bagaimanapun tolakannya keluar sekalipun penjaga gol, Azlisham sudah tertewas pada minit ke-41 untuk mengikat kedudukan seri tanpa jaringan pada babak pertama.

Separuh masa kedua menyemarakkan semangat Pulau Pinang, yang melakukan serangan bertali arus ke kubu Brunei sehingga memaksa pemain pasukan pelawat membuat beberapa kesilapan.

Akhirnya, bola yang terkena tangan salah seorang pemain pertahanan Brunei di depan pintu gol memaksa pengadil, M. Saminathan menghadiahkan tendangan penalti kepada Pulau Pinang, yang mudah disempurnakan Azman pada minit ke-47.

Jaringan tersebut menambah lagi semangat Pulau Pinang untuk melakukan beberapa percubaan berbahaya ke kubu Brunei.

Kesempatan terhidang buat Azman yang hanya berdepan penjaga gol, Yunus Yusof tetapi sepakannya pula melepasi palang pada minit ke-76.

Walaupun gagal, Azman bertindak cemerlang memastikan hantarannya ditolak masuk pemain gantian Ooi Hoe Guan, tiga minit kemudian.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RBRnEned © Utusan Melayu (M) Bhd

Bisa Azman kembali

ARKIB : 23/03/1999
AKSI awal Sabtu lalu mendedahkan segala-galanya, kekuatan atau kepincangan yang sudah disajikan menjadi rujukan penting kepada 10 pasukan dalam mengharungi bola sepak Liga Perdana Satu malam ini.

Pastinya, nama penyerang Pulau Pinang, Azman Adnan kembali mencetuskan kebimbangan kepada Brunei yang bertandang ke Stadium Bandaraya.

Keupayaannya menghasilkan dua jaringan daripada tiga peluang yang diperolehnya sewaktu Pulau Pinang seri 2-2 dalam masa permainan sebenar membayangkan betapa Azman masih 'berbisa' sebagaimana garang pasukan barunya, 'harimau kumbang.'

Kemantapan di kesemua posisi kerana diperkuatkan pemain daripada negeri lain seperti S. Ragesh (Kedah), Azlisham Ibrahim, Shahril Arsat dan Asmawi Bakiri (Selangor), V. Thinagaran (Perlis), Wong Kah Loon serta Badrisan Kadir (Kelantan), Pulau Pinang mempunyai banyak kelebihan.

Bagaimanapun Pulau Pinang seharusnya berhati-hati kerana Brunei bukannya pasukan 10 tahun lalu yang sering menghuni kelompok terbawah.

Kekalahan 3-4 kepada Kuala Lumpur yang dibarisi ramai pemain ''muka'' baru memungkinkan Brunei untuk bangkit mencipta kemenangan sebagai penebus maruah, apatah lagi dengan kesempatan menurunkan pemain importnya.

Selain Pulau Pinang, pasukan Perdana Satu mempunyai sebab untuk memberi sepenuh tumpuan kepada johan Piala Malaysia 1998, Perak yang mempunyai semangat paling tinggi selepas meraih kejuaraan pertama musim ini, Piala Sultan Ahmad Shah dalam perlawanan sumbangsih.

Walaupun terpaksa bertandang ke gelanggang lawan, Stadium Darulmakmur, Perak sudah pasti mempergunakan setiap peluang dalam mencari kelemahan Pahang yang masih ''tersepit'' dengan kontroversi peletakan jawatan jurulatih Alan Davidson.

Sementara skuad yang sering ''di belakangkan'' iaitu Kuala Lumpur sudah pasti menggentarkan Sarawak selepas kejayaannya mengatasi Brunei.

Kemenangan Kuala Lumpur yang dibarisi ramai ''muka baru,'' jelas memberi amaran kepada Sarawak supaya tidak memandang mudah keupayaan skuad warga kota itu, apatah lagi beraksi di Lembah Klang.

Begitu juga dengan Negeri Sembilan, perlu berwaspada untuk menghadapi Kedah yang dibarisi pemain baru selepas ramai tonggaknya berhijrah ke negeri lain.

Hanya kelebihan Negeri Sembilan bersandarkan kepada Zami Mohd. Noor yang menjaringkan dua gol dalam pertemuan dengan Pulau Pinang.

Pastinya, Zami diletakkan harapan tinggi untuk mencari seberapa banyak jaringan ke atas Kedah yang ketandusan penyerang berwibawa selepas ramai pemain handalannya berhijrah ke pasukan lain.

Sabah pula tidak terkecuali untuk 'bekerja keras' kerana lawannya Terengganu bukan sahaja pasukan terkuat di Pantai Timur, malah mempunyai reputasi selaku naib juara Piala Malaysia 1998.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RAyncu00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 17 November 2016

Perak bermula dengan bergaya



ARKIB : 21/03/1999
PENYERANG Perak, V. Saravanan (21) cuba dikejar oleh dua pemain pertahanan Sabah pada perlawanan Liga Perdana Satu, malam tadi. Perak menang 1-0. - Gambar MOHAMAD HASHIM.

JUARA Piala Malaysia, Perak membuka kempen bola sepak Liga Perdana Satu dengan bergaya apabila menewaskan Sabah 1-0 dalam perlawanan di Stadium Perak, malam tadi.

Walaupun bermain atas padang basah dan di depan hanya 7,000 penyokong sendiri, Perak membuktikan mereka antara pasukan pilihan musim ini dengan memperoleh gol menerusi M. Nagaraja pada minit ke-50.

Terima kasih kepada penjaga gol Sabah, Khairul Azman Mohamad yang menjadi penyumbang kepada kemenangan itu sekali gus membolehkan Perak memungut tiga penuh.

Ternyata label sebagai pasukan juara menyaksikan Perak terus mengasak sebaik permainan dimulakan namun percubaan minit pertama P. Gunasekaran ditampan kemas Khairul Azman.

Keghairahan Perak mencari gol awal jelas memaksa Sabah hanya bertahan selepas itu biar pun cuba menyaingi rentak pantas tuan rumah yang mengamalkan hantaran-hantaran pendek yang kemas untuk memecah kubu lawan.

Saravanan yang sentiasa menjadi duri dalam daging bagi pertahanan Sabah berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-9 tetapi larian solonya dari tengah padang gagal disempurnakan apabila sepakan leretnya terkena tiang ketika Khairul sudah pun tertewas.

Asakan digandakan oleh Perak namun mereka mendapati pertahanan Sabah yang diterajui Veselin Kovasevic terlalu kebal untuk ditembusi.

Walaupun tertekan dengan corak permainan lawannya, Sabah sempat mencuri peluang pada minit ke-39 namun sepakan kencang Henry Soimpon dari jarak 35 meter berjaya ditepis keluar penjaga gol Perak, V. Murugan.

Bagaimanapun Sabah tidak mampu lagi bertahan apabila lima minit selepas separuh masa kedua bermula, Perak memperoleh gol menerusi Nagaraja yang menyambut bola muntah hasil kesilapan Khairul yang gagal menolak keluar bola tandukan Mior Nor Samsul dari kawasan bahaya.

Gol itu bagaimanapun gagal menyuntik semangat pemain-pemain Perak sebaliknya menyaksikan Sabah mengambil giliran melakukan asakan untuk mencari gol penyamaan.

Dalam keletihan, pertahanan Perak dipaksa bertahan namun ketumpulan barisan serangan Sabah menyelamatkan keadaan dan keputusan itu kekal hingga tamat permainan.

Oleh: MOHD. TAUFEEK RAZAK

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4QL8iLBod © Utusan Melayu (M) Bhd