Rabu, 31 Mei 2017

Public Bank menang besar



ARKIB : 22/06/2005

KUALA LUMPUR - Public Bank nyata terlalu kuat buat pasukan dari Piala FAM, KL Maju Holdings apabila mereka menang 5-0 pada perlawanan kedua Piala FA pusingan kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, malam tadi.

Dengan kemenangan besar itu, pasukan Liga Super, Public Bank mara ke suku akhir dengan agregat 10-1.

Mohd. Aiman Wong memulakan pesta gol Public Bank dengan jaringan pada minit ketujuh dan dua minit kemudian Milan Strelec menjadikan kedudukan 2-0.

Aiman sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-23 sebelum menyaksikan bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof menewaskan penjaga gol Maju Holdings dua kali berturut-turut pada minit ke-76 dan 83.

Public Bank mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Polis manakala Maju Holdings layak selepas mengecewakan Tentera.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ifNdsy1m
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 30 Mei 2017

MK Land, Kedah kejar Selangor



ARKIB : 25/05/2005

KUALA LUMPUR - Ketika Selangor selesa mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana Kumpulan A, dua seteru utama MK Land dan Kedah bertemu di Stadium Darul Aman malam ini untuk menentukan siapa bakal mengekori rapat skuad Merah Kuning.

Pertembungan kedua-dua pasukan itu menjadi tumpuan kerana mereka antara dua pasukan bakal mencabar kedudukan Selangor dengan enam baki perlawanan sebelum saingan Liga Perdana berakhir.

Pasukan yang menang bakal mengekori rapat Selangor yang kini di tangga teratas dengan 37 mata manakala MK Land dan Kedah masing-masing terikat dengan 30 mata.

Atas kertas kelebihan jelas milik Kedah yang menjadi satu-satunya pasukan yang masih belum tewas dalam sebarang perlawanan setakat ini.

Kedah pula mempunyai rekod yang lebih baik berbanding MK Land apabila seri 0-0 di tempat lawan pada 6 Februari lalu sebelum menang 3-2 ke atas lawan di gelanggang sendiri pada 27 Mac lalu.

Berdasarkan rekod itu, jelas Kedah lebih berpeluang untuk menang dan sekali gus memintas MK Land untuk berada di tangga kedua di belakang Selangor.

Buat kedua-dua pasukan perlu menang perlawanan ini jika berhasrat untuk mencabar kedudukan Selangor untuk mara ke Liga Super musim depan.

Namun keupayaan MK Land yang menduduki tangga kedua liga tidak boleh dipandang rendah keupayaan mereka.

Anak didik Khan Hung Meng memiliki jentera serangan ampuh menerusi gandingan Marlon Alex James dan kelincahan Miroslav Toth untuk menggegar jaring Kedah.

Jentera serangan MK Land nyata lebih menyerlah daripada Kedah selepas 14 perlawanan mereka telah menjaringkan 41 gol berbanding skuad Kenari hanya 28 gol.

Kedah pastinya mengharapkan sentuhan Akmal Rizal Rakhli, Hasmawi Hassan dan Liew Kit Kong untuk menyaingi kehebatan MK Land.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iYJy3lxp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Penyerang tempatan tumpul



ARKIB : 25/05/2005
KUALA LUMPUR - Walaupun Liga M sudah lama berlangsung, namun keupayaannya dalam menghasilkan pemain bola sepak tempatan yang menyerlah dan disegani lawan pada posisi serangan, nampaknya masih jauh ketinggalan.

Bekas pemain kebangsaan, Santokh Singh ketika ditemui di Stadium Shah Alam semasa menyaksikan perlawanan antara pilihan Selangor dan pilihan Singapura dalam kejohanan Piala Sultan Selangor baru-baru ini berkata, penyerang tempatan perlu melipatgandakan usaha sekiranya mereka ingin bersaing dengan pemain import.

``Kebanyakan penyerang kita kekurangan naluri pemusnah semasa berada di hadapan pintu gol. Saya sudah saksikan perlawanan-perlawanan liga dan dapati kebanyakan pasukan mengharapkan pemain import untuk membuahkan sebarang hasil,'' kata Santokh yang merupakan pemain pasukan Veteran Selangor.

Penyerang Pahang, Indra Putra Mahayuddin yang menjaringkan sembilan gol dan berada di tempat keempat senarai penjaring terbanyak pada masa ini, adalah antara pemain tempatan yang berada di kalangan 11 penjaring terbanyak dalam Liga Super.

Pemain import Sabah, Julio Rodriguez adalah penjaring terbanyak pada masa ini dengan 14 gol, diikuti import Pahang, Bernard Tchoutang dan Zachariah Simikonda (Perlis), masing-masing dengan 12 gol.

Statistik Liga Premier nampak lebih baik dengan dua penyerang tempatan berada antara 10 penjaring terbanyak.

Rudie Ramli dari Selangor PKNS berada di tempat ke-lima dengan 11 gol, manakala Khalid Jamlus dari Selangor di tempat lapan dengan tujuh gol.

Pemain import Selangor, Bambang Pamungkas adalah penjaring terbanyak dengan 18 gol, manakala pemain MK Land, Marlon Alex James di tempat kedua dengan 17 gol.

Santokh turut menamakan bekas-bekas pemain seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Hassan Sani, Isa Bakar, Ghani Minhat dan pemain Singapura Fandi Ahmad sebagai contoh penyerang tempatan yang handal pada suatu ketika dahulu.

``Mereka bukan hanya berbahaya di dalam kawasan kotak penalti, malah mereka boleh menemui sasaran semasa berada di luar kotak penalti,'' katanya. - Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iYHqXK7h
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 29 Mei 2017

Bayangan juara semakin hampir



ARKIB : 21/05/2005

KUALA LUMPUR - Tujuh baki perlawanan mengharungi saingan pusingan ketiga bermula malam ini yang akan menjadi titik tolak untuk menentukan pasukan bakal bergelar juara Liga Super musim 2005.

Selepas mengharungi 14 perlawanan perbezaan mata antara pendahulu Perlis dengan Pahang, Pulau Pinang dan Public Bank tidak jauh berbeza.

Manakala Telekom, MPPJ, Sabah dan Perak pula terpaksa bersaing bagi mengelakkan diri daripada menduduki dua tangga tercorot yang bakal menyaksikan mereka tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Setiap pasukan tidak mempunyai banyak pilihan berada di tangan dengan baki tujuh perlawanan melainkan mengutip kemenangan demi kemenangan untuk meraih kejayaan.

Kedudukan Perlis di tangga teratas liga dengan kelebihan lima mata mengatasi Pahang di tempat kedua, Pulau Pinang pula dengan tujuh mata belum dianggap selamat.

Bagi Sabah dan Perak yang menduduki dua tangga tercorot pula tidak punya banyak pilihan perlu menang untuk mengelakkan diri daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Malam ini menyaksikan empat perlawanan menarik membabitkan Perak berdepan dengan Perlis di gelanggang sendiri.

Buat Perak yang bergantung kepada sentuhan jaringan Frak Seator perlu menang ke atas Perlis jika tidak kedudukan mereka bakal lebih menyulitkan untuk terus menghuni tangga terbawah.

Perak pastinya mampu menarik nafas lega apa lagi skuad Singa Utara menerima kejutan apabila rebah kepada Telekom 1-2 di gelanggang sendiri minggu lalu.

Manakala Sabah pula melayani kedatangan Pulau Pinang di Stadium Likas, Pahang bertandang ke Stadium Petaling Jaya bertemu MPPJ dan Telekom berdepan dengan Public Bank di Stadium Hang Jebat.

Kesemua perlawanan malam ini sifatkan penting buat semua pasukan lebih lagi Pahang selaku penyandang juara Liga Super musim lalu mesti menewaskan MPPJ untuk merapatkan diri bagi mencabar kedudukan Perlis.

Pahang dengan sentuhan Bernard Tchoutang tetapi sudah tersisih perjuangan di Piala FA baru-baru ini bakal mencongak strategi paling mantap untuk mengutip tiga mata berharga ke atas MPPJ.

Buat Pulau Pinang yang menduduki tangga ketiga liga bakal berdepan tugas rumit berdepan Sabah yang kini terhimpit berada dua anak tangga terbawah liga.

Sentuhan jaringan Jose Baretto dan Viatcheslav Melnikov yang menjadi pemusnah ketika Pulau Pinang menang 3-1 ke atas Public Bank menjadi sandaran untuk membenam Sabah.

Telekom pula yang masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas Perlis minggu lalu mengharapkan sentuhan kemenangan berterusan apa lagi berdepan dengan Public Bank yang ketika ini prestasi masih tidak menentu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iXCkBrqQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Debaran Perdana kian terasa



ARKIB : 06/05/2005 
Oleh AMRAN MULUP
Penyerang Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli (depan) berusaha melepasi kawalan salah seorang pemain pertahanan Kuala Lumpur dalam aksi Kumpulan A, Liga Perdana di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin yang berkesudahan seri 1-1. - Gambar Nazudeen Mahmud.


KUALA LUMPUR - Baki dua perlawanan untuk menamatkan aksi pusingan kedua sampai ke penghujung, menyaksikan persaingan merebut dua gelaran juara Liga Perdana Kumpulan A dan B semakin mendebarkan.

Ketika tumpuan pada mulanya diberikan kepada Selangor, Kedah, Kuala Lumpur, Terengganu dan Negeri Sembilan, dua pasukan berstatus kelab MK Land dan PKNS kian mencerahkan peluang untuk merebut gelaran juara liga.

Kedua-dua pasukan itu terus mencuri perhatian apabila masing-masing menduduki dua kedudukan teratas kumpulan tersebut.

MK Land yang merampas tampuk sebagai pendahulu Kumpulan A daripada Selangor Ahad lalu, terus kekal dengan kelebihan satu mata walaupun terpaksa berhempas pulas menewaskan Melaka 1-0.

Kemenangan tipis hasil jaringan penyerangnya Marlon Alex James pada minit ke-46, memastikan MK Land memungut 29 mata.

Mengekori rapat ialah Selangor yang tewas 1-4 kepada Kedah Ahad lalu, bangkit melaungkan amaran apabila membelasah NTFA 5-1 di tempat lawan.

Dua gol masing-masing menerusi Muhammad Khalid Jamlus (m-14, m-85), Bambang Pamungkas (m-87, m-89) dan Brian Fuentes (m-44), memastikan Selangor terus kekal di tangga kedua dengan 28 mata.

Kemenangan milik skuad Merah Kuning memastikan mereka tidak ketinggalan jauh daripada MK Land dalam usaha untuk merampas kembali takhta Kumpulan A.

Bagaimanapun, Kedah gagal meneruskan aksi cemerlang apabila sekadar seri 1-1 dengan Kuala Lumpur untuk kekal di tangga ketiga.

Peluang terhidang baik buat Kedah membuka tirai jaringan pertama menerusi Gabriel Mendez (m-35) tetapi kealpaan benteng pertahanan membolehkan Muhammad Zamri Hassan menyamakan kedudukan 1-1, ketika baki perlawanan 11 minit hendak ditamatkan.

Bagaimanapun, Kedah menjadi satu-satunya pasukan yang masih mengekalkan rekod bersih tanpa kalah selepas melalui 12 perlawanan setakat ini dan berada di tangga ketiga dengan 26 mata.

Sementara itu Kuala Lumpur berada di tempat keempat diikuti oleh Brunei (5), NTFA (6), Melaka (7) dan TNB (8).

Sementara itu dalam Kumpulan B pula, Terengganu kembali merampas kedudukan teratas selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Tidak sampai seminggu Negeri Sembilan merampas tampuk itu daripada Terengganu, ledakkan jaringan Zairo Anuar Zailani (m-18) dan Dos Santos (m-60) sudah cukup mengembalikan skuad Penyu di persada teratas.

Kekalahan Negeri Sembilan di tempat sendiri membolehkan PKNS berada di tangga kedua liga selepas memahatkan kemenangan ketujuh berturut-turut menewaskan Johor 4-2.

Persembahan cemerlang PKNS jelas memberi tekanan kepada skuad Penyu dan Negeri Sembilan dengan baki dua perlawanan menamatkan saingan pusingan kedua.

PKNS ketinggalan hanya tiga mata berbanding Terengganu selaku pendahulu Kumpulan B manakala Negeri Sembilan pula di tangga ketiga dengan memungut 22 mata.

Buat Johor FC, Sarawak, Jenderata, Johor dan PDRM masing-masing sekadar mempertahankan kedudukan untuk mengelak daripada terjerumus ke Piala FAM musim depan.

PDRM yang sekadar memungut dua mata daripada 12 perlawanan menduduki tangga terbawah, kian hampir disingkirkan musim depan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iSt1CfgZ
© Utusan Melayu (M) Bhd