Sabtu, 23 Disember 2017

Ada tidak kena dengan ABK?

Disember2017

 KEJAYAAN muncul juara Liga Super dan Piala Malaysia tidak memberi kelebihan kepada JDT untuk dipilih 2
KEJAYAAN muncul juara Liga Super dan Piala Malaysia tidak memberi kelebihan kepada JDT untuk dipilih memenangi anugerah Pasukan Terbaik dalam ABK 2017 yang berlangsung di Petaling Jaya, kelmarin.
Zazali Jamian

24 Disember 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 23 Dis. - Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2017 yang berlangsung semalam di­lihat seperti ada sesuatu yang tidak kena berhubung keputusan pemilihan pemenang malah perkara itu juga disedari oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
KHAIRY JAMALUDDIN
Khairy yang tidak memihak kepada mana-mana pasukan meluahkan rasa terkilan apabila anugerah tersebut menafikan sebarang pengiktirafan kepada pasukan tempatan paling berjaya.


“Ada sesuatu yang tidak berapa kena apabila anugerah bola sepak negara langsung tidak memberi sebarang penghargaan kepada pasukan tempatan yang paling berjaya.

“Kecemerlangan tidak dihargai, dikecam dan dicemburui.

“Kalau begitulah sikap kita, selama-lamanya kita menjadi negara kelas ketiga, anti-kecemerlangan, berhasad dengki dan berhati hitam,” katanya kepada Mingguan Malaysia, hari ini.

Pemenang bagi anugerah yang ABK pilih berdasarkan undian daripada 24 jurulatih, 24 kapten pa­sukan dan 24 media.

Semalam, Kedah yang meraih kejuaraan Sumbangsih dan Piala FA musim ini mendominasi ABK apabila dipilih memenangi sembilan daripada 22 anugerah ditawarkan.

Sementara Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah meraih gelaran Liga Super dan Piala Malaysia 2017 hanya dipilih memenangi dua gelaran sahaja.

Dua anugerah dimenangi atas nama JDT itu ialah Pemain Muda Harapan menerusi Adam Nor Azlin dan bekas pemain skuad Harimau Selatan, Mohamad Ghadar yang dipilih sebagai Penjaring Terbanyak Liga Super (import).

Pada tahun ini JDT muncul sebagai wakil tunggal Malaysia yang berjaya melepasi aksi pe­ringkat kumpulan Piala AFC 2017



sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/ada-tidak-kena-dengan-abk-1.578488#ixzz529gIxmkC

© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 22 Disember 2017

Gara-gara kenyataan dalam akhbar, Reduan digantung setahun, denda

ARKIB : 27/02/2009
PETALING JAYA - Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa; mengungkap nasib Reduan Abdullah setelah jurulatih kelab Liga Perdana, Felda United ini dikenakan penggantungan setahun dan didenda RM4,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Gara-gara kenyataannya dalam sebuah akhbar pada 20 Februari 2009 mengenai ujian kecergasan Yoyo, bekas pemain tengah kebangsaan era 70-an itu didapati menyalahi Perkara 5.8.1 Peraturan Pertandingan Liga Malaysia dan dihukum menurut Perkara 18.2 Peraturan Tatatertib FAM 2008.

Pengerusi jawatankuasa itu, Kamarudin Abdullah berkata, Reduan didapati mengeluarkan kenyataan kepada akhbar itu tanpa kebenaran FAM dan tidak tepat mengenai ujian tersebut.

"Dia mengaku atas perbuatan itu apabila dihadapkan ke jawatankuasa ini dan dia dibenarkan merayu hanya kepada hukuman penggantungan itu dalam tempoh 14 hari tetapi denda tersebut muktamad," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat selama empat jam di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Reduan yang ditemui selepas dijatuhi hukuman itu berkata: "Hukuman sudah dijatuhkan dan saya perlu mematuhinya tetapi akan cuba mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FAM untuk meringankannya. Inilah kali pertama saya dihadapkan bagi kes tatatertib termasuk ketika sebagai pemain."

Jurulatih pasukan Liga Super Perlis, Irfan Bakti Abu Salim pula digantung empat perlawanan dan didenda RM7,000 kerana didapati bersalah menyepak mikrofon RTM di tepi padang dan memasuki padang serta melemparkan kata-kata yang menyinggung pengadil perlawanan Liga Super menentang Pulau Pinang pada 10 Januari lalu di Stadium Bandaraya.

''Jawatankuasa turut mendenda seorang pegawai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), RM3,000 bagi perlawanan Piala Malaysia menentang Selangor pada 29 Ogos 2008.

"Turut dihukum berkaitan perlawanan tersebut ialah penolong jurulatih ketika itu, Anuar Udin yang didenda RM1,000 manakala seorang lagi pegawai pasukan, Gifari Wari didenda RM3,000 dan digantung daripada semua aktiviti bola sepak buat sementara," katanya.

Katanya lagi, pasukan PDRM turut didenda RM10,000 kerana kelakuan penyokongnya membaling botol ke padang.

Sementara itu, jawatankuasa bagaimanapun tidak dapat membuat keputusan kes pergaduhan pada perlawanan liga berkenaan kategori lelaki antara Selangor dengan Kelantan di Stadium Sukpa, Kuantan pada 28 Disember 2008 kerana mereka yang dipanggil menghadap, tidak dapat hadir atas alasan pengangkutan.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz522xvzumL

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 16 Disember 2017

'Jangan hanyut dibuai mimpi'

ARKIB : 15/01/2009
KUALA LUMPUR - Berada di puncak memang mengasyikkan namun pengendali KL PLUS, Mat Zan Mat Aris tidak sekali-kali mahu melihat anak didiknya hanyut dibuai mimpi lapor MOHD. RAFIE AZIMI.

Kecemerlangan KL PLUS menewaskan Pulau Pinang 3-1 membolehkan skuad lebuh raya itu memintas kedudukan Selangor yang rebah 2-1 kepada Johor FC di Stadium J-Corp, Pasir Gundang dalam aksi Liga Super kelmarin.

Mat Zan yang ditemui selepas perlawanan itu berkata, beliau bersyukur dengan kejayaan pasukannya berada di takhta liga namun mengingatkan para pemain betapa liga musim ini baru sahaja bermula.

''Saya gembira mendapat tahu kami mendahului pasukan lain di dalam liga. Namun, masih terlampau awal untuk meramal kedudukan setiap pasukan yang bertanding musim ini.

''Cuma saya harap kedudukan ini tidak akan menjadi beban serta tekanan kepada pemain untuk mengekalkan momentum kemenangan,'' katanya.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur kelmarin, Bobby Gonzalez muncul wira KL Plus apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-49 dan 58 bagi membenam skuad harimau kumbang.

Satu lagi gol KL Plus disumbangkan oleh Nur Adli Mohd. Pauzee minit ke-37 manakala Mohd. Idzwan Salim pula menyumbat gol sagu hati untuk Pulau Pinang pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Mengulas mengenai corak permainan pasukannya malam itu, Mat Zan secara keseluruhannya berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan para pemain sepanjang perlawanan berlangsung.

''Kami agak longlai pada babak pertama sehingga membenarkan lawan menjaringkan gol mudah akibat kelalaian sendiri.

''Kebangkitan KL Plus pada separuh masa kedua adalah sesuatu yang menggembirakan malah saya percaya para penonton turut terhibur melihat corak permainan yang kami sajikan malam ini,'' katanya.

Dalam pada itu, Mat Zan seakan turut mengingatkan para pesaingnya musim ini betapa pasukan bimbingannya itu masih belum sampai ke kemuncak prestasi.

''Saya percaya prestasi kami masih belum sampai ke kemuncak dan akan ada peningkatan daripada para pemain bagi menghadapi perlawanan seterusnya,'' ujarnya
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz51TRUh2yV

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 13 Disember 2017

KL PLUS sasar empat terbaik

ARKIB : 05/12/2008
PETALING JAYA - Walaupun bakal beraksi buat pertama kali dalam Liga Super musim depan, KL PLUS tidak gentar untuk berdepan pasukan gergasi yang lain seperti Selangor, Kedah, Perlis dan Perak sebaliknya terus meletak sasaran untuk berada di antara empat pasukan terbaik liga.

Menurut jurulatihnya, Mat Zan Mat Aris, KL PLUS mempunyai sasaran tersendiri bukan sahaja dalam Liga Super tetapi juga dalam perebutan Piala FA dan Piala Malaysia.

''Ini adalah sasaran kami (pasukan) dan juga pihak pengurusan, jika dalam Liga Super kami mensasarkan untuk berada di kalangan empat pasukan terbaik, dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia pula kami mahu mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir," katanya dalam Majlis Pelancaran Pasukan KL PLUS Musim 2009 semalam.

Jelasnya, barisan pemain sedia ada dan beberapa muka baru mampu menggalas cabaran untuk musim depan termasuk pemain kebangsaan seperti Irwan Fadly Idrus dan Norhafiz Zamani Misbah.

''Gandingan baru dan lama termasuk beberapa pemain muda tidak mustahil untuk melakukan kejutan musim depan dan mencapai sasaran yang ditetapkan. Saya juga berpuas hati selepas berjaya mencapai cita-cita membawa pasukan beraksi dalam Liga Super, itu adalah sasaran saya pada musim lepas," kata bekas pemain Kuala Lumpur itu
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz51CZb96f5

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 12 Disember 2017

UPB-MyTeam saring 37 bakat baru

ARKIB : 03/11/2008
KUALA LUMPUR - Kelab UPB-MyTeam semalam menyaring 37 bakat baru bola sepak untuk menjalani ujian pemilihan terakhir pada 11 November ini sebelum membentuk skuad 25 pemain Piala Presidennya bagi musim baru, Januari depan.

Pengurus pasukan, Yakub Hussaini berkata, sesi ujian selama empat hari di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil itu akan turut melibatkan perlawanan persahabatan dengan dua atau tiga pasukan terpilih yang kemungkinan besar dari sekitar Lembah Klang.

"Kami menerima sambutan menggalakkan dalam sesi pemilihan awal selama dua hari ini dengan dihadiri 220 pemain muda berusia bawah 20 tahun malah ada yang sanggup datang dari jauh seperti Perlis," katanya di Padang MSN, Bukit Jalil, semalam.

Sesi pemilihan awal sejak kelmarin selama lebih tiga jam, dikendalikan oleh jurulatih skuad Piala Presiden UPB-MyTeam, Jacob Joseph dan 37 orang ini akan disaring sekali lagi bersama sekumpulan bakat baru yang turut dicungkil di Cameron Highland.

Setakat ini kelab yang berpangkalan di Teluk Intan, Perak itu, cuma mampu mengekalkan empat pemain bawah 20 tahun dari musim lalu iaitu G.K. Banuteja, M. Anbarasan, Muhammad Asil Syafiq Sehrifodin dan Wilfred Jabun bagi meneruskan cabaran musim depan.

Kata Yakub, pemilihan baru dibuat ekoran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memansuhkan pertandingan bawah 19 tahun, Piala Belia dan mengurangkan had umur Piala Presiden dari bawah 23 kepada bawah 20 tahun mulai tahun depan.

"Menerusi ujian empat hari itu, kami mahu mendapatkan lapan pemain terbaik dari kalangan mereka yang berusia bawah 19 tahun, lapan bawah 18 dan sembilan bawah 17," katanya yang juga pengurus pasukan senior UPB-MyTeam.

Pengurusan kelab katanya, bakat baru yang dipilih tetapi masih bersekolah dan perlu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bulan ini pula masih diberi tempoh sehingga bulan depan untuk dipanggil semula menjalani ujian pemilihan.

Musim lalu Piala Presiden menyaksikan skuad yang diasaskan daripada siri realiti TV sejak 2006 dan di bawah bimbingan Jacob ini terkandas pada separuh akhir dengan tewas menerusi agregat 6-1 kepada Perak dalam perlawanan timbal balik
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz512b8K3KK

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 25 November 2017

KM NAZA raih kejuaraan bergaya

ARKIB : 04/05/2008
KM NAZA raih kejuaraan bergaya
 
PEMAIN Kuala Muda Naza meraikan kejuaraan Liga Perdana selepas menang bergaya mengatasi KL PLUS 3-2 di Stadium Cheras, semalam.

KUALA LUMPUR - Kuala Muda Naza merangkul kejuaraan bola sepak Liga Perdana dengan penuh bergaya selepas menundukkan pencabar utama, KL PLUS 3-2 dalam perlawanan penutup di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Kemenangan Kuala Muda ini melengkapkan musim cemerlang bola sepak Kedah, selepas pasukan negeri itu sebelum ini dinobatkan selaku juara Liga Super.

Malah, kemenangan tersebut juga mengembalikan keceriaan dalam kem Kuala Muda yang masih dirundung kesedihan di atas kematian pengasas dan pengerusi Kumpulan Naza, Tan Sri S.M. Nasimuddin SM Amin, kelmarin.

Skuad bimbingan jurulatih K. Devan itu berjaya membawa pulang trofi dan hadiah RM200,000.

Bekas penyerang kebangsaan, Faderin Kadir pula memberi kegembiraan berganda buat Kuala Muda apabila dinobat sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

"Kami memang layak memenangi kejuaraan dengan prestasi baik yang ditunjukkan oleh pasukan sepanjang musim, malah hari ini kami berjaya menjaringkan tiga gol di tempat lawan.

"Kemenangan ini adalah hadiah kami buat Tan Sri S.M. Nasimuddin kerana Allahyarham merupakan orang kuat yang memastikan pasukan ini ini dapat bersaing,'' kata Devan.

Kedua-dua pasukan bersaing sengit pada babak pertama selepas Rudie Ramlee meletakkan Kuala Muda di depan pada minit ke-30, tetapi Mohd. Lot Abu Hassan menyamakan kedudukan, dua minit kemudian.

Walaupun seri sudah memadai untuk Kuala Muda, namun wakil Kedah itu tidak mahu mengalah.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zRSuXw7F

© Utusan Melayu (M) Bhd

Perak syor gantung seumur hidup

ARKIB : 28/04/2008
IPOH - Bekas pemain kebangsaan tahun 60-70an, Baharin Khamis mencadangkan pemain yang terlibat mengatur perlawanan dihukum gantung seumur hidup sebagai pengajaran merosak imej bola sepak negara.

Baharin menegaskan, hukuman keras itu akan turut menjadi iktibar kepada pemain-pemain lain supaya tidak melakukan kesalahan yang sama.

Beliau yang juga Ahli Majlis Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) akan mencadangkan hukuman keras itu kepada persatuan berkenaan jika pemain Perak terlibat dalam gejala yang menjijikkan itu.

Namun begitu, beliau setakat ini tidak mendengar sebarang desas-desus pemain Perak terlibat dalam perbuatan berkenaan.

''Jangan kasihan terhadap pemain-pemain tersebut kerana mereka sudah mengetahui akibatnya jika melakukan perkara terkutuk itu.

''Biarkan pemain-pemain yang terlibat itu menjadi penonton sahaja sepanjang umur kerana mereka merupakan dalang utama kepada perosak imej bola sepak negara," tegas Baharin ketika dihubungi di Ipoh, semalam.

Menurut Baharin, rasuah akan membuatkan stadium kembali kosong kerana para penonton berasa ditipu 'hidup-hidup' oleh pemain-pemain yang tidak bertanggungjawab itu.

Baharin mengakui terdapat sebilangan penonton sudah menjauhi stadium kerana ditipu oleh para pemain dalam gejala rasuah antara tahun 1994- 1995.

''Kini keadaan bertambah parah dengan tindakan kali kedua para pemain menjual perlawanan yang mana memungkinkan para penonton tidak mahu lagi menjejak kaki di stadium jika perlawanan bola sepak diadakan," tambahnya.

Beliau yang pernah menjadi jurulatih Perak berkata, sikap tamak para pemain sekarang mungkin membuatkan mereka gelap mata untuk menerima habuan berkenaan.

Baharin berkata, seorang pemain dalam Liga Malaysia menerima gaji bulanan antara RM3,000 hingga RM8,000 dan bonus perlawanan antara RM500 hingga RM2,000 setiap perlawanan tetapi sanggup melakukan perbuatan berkenaan.

''Apa lagi yang mereka mahu.... masih tidak cukupkah bayaran yang mereka terima itu," jelas Baharin dengan penuh nada geram.

Beliau berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan semua persatuan negeri supaya mengambil tindakan keras terhadap para pemain yang terlibat bagi membendung gejala berkenaan.

Katanya, bola sepak Malaysia akan hancur jika gejala berkenaan tidak dibendung.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4zR5PcOHG

© Utusan Melayu (M) Bhd

Siasat mungkin ada lagi pasukan negeri lain terlibat - Ibrahim

ARKIB : 27/04/2008
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menyiasat gejala rasuah dalam bola sepak digesa supaya turut menyiasat semua pasukan dalam Liga Malaysia yang mungkin turut terlibat dalam mengatur keputusan perlawanan.

Bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad (gambar) berkata, ini kerana berdasarkan pengalamannya, skandal mengatur perlawanan lazimnya tidak hanya melibatkan satu atau dua pasukan sahaja.

Menurut Ibrahim, kemungkinan tersebut ada kerana rasuah mengatur keputusan perlawanan juga boleh melibatkan banyak pasukan.

''Saya merupakan orang pertama yang membuat laporan berhubung masalah rasuah dalam bola sepak yang berlaku pada pertengahan tahun 1990-an.

''Berdasarkan pengalaman daripada skandal tersebut, kalau ada satu atau dua pasukan yang terlibat dalam rasuah, ada banyak lagi pasukan yang terlibat.

''Rasuah dalam sukan ini tidak mungkin hanya melibatkan dua pasukan sahaja.

''Untuk itu pasukan lain juga perlu disiasat dalam soal ini,'' tegasnya yang berada di Mekah ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Beliau yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengulas gejala rasuah yang kembali menghantui bola sepak tempatan dengan terbaru seorang bekas pemain Sarawak direman di Kuching, kelmarin untuk soal siasat.

Menurut Ibrahim, maklumat mengenai penglibatan pasukan lain boleh diperoleh daripada pemain yang ditahan (kerana disyaki rasuah).

''Daripada pemain yang disoal siasat, kita boleh tahu perlawanan mana yang telah diatur keputusannya,'' katanya.

Tambahnya, ini merupakan kali kedua rasuah dikesan dalam liga bola sepak tempatan dan dalam hal ini FAM perlu bertindak sekeras-kerasnya kerana ia melibatkan imej negara.

''FAM perlu menyiasat semua pihak dari pemain, pengurus sehingga ke jurulatih supaya gejala ini dapat dihapuskan,'' katanya.

Ibrahim menambah, cadangan FAM untuk menggantung saingan Piala Malaysia jika gejala rasuah semakin serius, bukan langkah tepat.

Menurutnya, membatalkan perlawanan tidak akan menyelesaikan masalah rasuah.

''Apa yang penting sekarang ialah menghukum mereka yang terlibat sama ada pemain, pegawai atau sesiapa sahaja yang terlibat.

''Saya menganggap dengan membatalkan perlawanan, ia memberi gambaran yang sangat tidak baik terhadap sukan bola sepak kita kepada dunia luar,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zR3acdQa

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 19 November 2017

Kedah juara Liga Super

ARKIB : 13/04/2008
 
PEMAIN-pemain Kedah meraikan kejayaan mereka mengekalkan kejuaraan Liga Super musim ini selepas menewaskan Terengganu 2-1 di Stadium Darul Aman, malam tadi.

KUALA LUMPUR - Kedah mengekalkan kejuaraan Liga Super musim ini apabila menewaskan Terengganu 2-1 di Stadium Darul Aman, semalam.

Kejuaraan Kedah itu muncul lebih awal apabila pencabar terdekat, Selangor dibelasah Pulau Pinang 1-4 di Stadium Bandaraya.

Pemain import, Bernard Hugging memastikan Kedah memperoleh mata ke-53 liga, iaitu kedudukan yang tidak mampu lagi dipintas Selangor menerusi tandukan hasil sepakan sudut pada minit ke-86.

Terdahulu, tuan rumah di depan hasil jaringan Marlon Alex James menerusi sepakan bebas dari luar kotak penalti.

Terengganu cuba bangkit dan menemui gol penyamaan pada minit ke-50 menerusi Mohd. Ashaari Shamsuddin.

Sejurus wisel penamat dibunyikan, hampir 30,000 peminat yang membanjiri Stadium Darul Aman berpesta meraikan kejuaraan Liga Super yang kekal milik pasukan Kenari.

Para pemain dan pengurus Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berarak di sekeliling stadium sambil melambai ke arah penonton.

Peluang Kedah untuk muncul juara lebih awal tanpa perlu menunggu tiga baki perlawanan sememangnya telah diduga sebelum perlawanan ekoran malang yang menimpa Selangor yang dipotong tiga mata, gara-gara bersalah kerana empat pemain mereka pulang awal pada sesi akhir klinik Ian Rush, baru-baru ini.

Namun, tanpa mengambil kira rayuan Selangor ke atas hukuman mereka kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diterima atau sebaliknya, Kedah sah bergelar juara apabila Pulau Pinang meranapkan sisa-sisa harapan Selangor.

Pulau Pinang mengejutkan Selangor apabila mendahului 2-0 menerusi jaringan Mohd. Azrul Ahmad dan Amir Shahreen Abd. Mubin minit ke-28 dan ke-59 sebelum jaringan Safee Sali minit ke-63 untuk cuba mendekatkan kedudukan.

Selangor terus kecewa apabila Mohd. Azrul sekali lagi menggegar gawang pada minit ke-65 dan Mohd. Farizal Rozali mengesahkan kemenangan besar pasukan di tangga tercorot itu pada minit ke-72.

Sementara itu, NS Naza memintas Perak untuk naik ke tangga ketiga liga apabila menewaskan pasukan Seladang 3-1 di Stadium Tuanku Abd. Rahman, Paroi.

Tuan rumah selesa di depan 3-0 menerusi Mohd. Zaquan Adha (m-23), Udo Fortune (m-45) dan penalti Lamin Conteh pada mini ke-56.

Perak hanya memperoleh jaringan sagu hati pada minit ke-80 menerusi Carlos Caceras.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ysJljMBx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 18 November 2017

KL PLUS rapat jurang pendahulu



ARKIB : 31/03/2008

KUALA LUMPUR – Kuala Muda NAZA terus memberi tekanan kepada pendahulu Liga Perdana, KL PLUS apabila mencatat kemenangan 2-1 keatas Harimau Muda di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kuala Muda Naza membuka jaringan pendahulu perlawanan menerusi Farderin Kadir di minit ke-33 sebelum Harimau Muda menyamakan kedudukan di minit 40 menerusi Ahmad Fakri.

K.Sathian menjadi wira Kuala Muda NAZA apabila menjaringkan gol kemenangan di minit ke-59.

KL PLUS hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 dengan Sabah di di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Sabah membuka tirai jaringan pada minit ke-8 menerusi Salvester Sindih, sebelum KL PLUS menyamakan kedudukan 1-1 menerusi penyerang importnya, Alex Agbo di minit ke-44.

Mohd. Haril Nizam Hanif menjaringkan gol kedua KL PLUS di minit ke-80, sebelum Dragic Dalibor menjadi penyelamat kepada tuan rumah tiga minit selepas jaringan itu untuk mengikat keputusan perlawanan 2-2.

Kelantan yang sudah bermain 18 perlawanan terus berada di tangga ketiga liga dengan 38 mata selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 pada perlawanan di Stadium Selayang.

Gol Kelantan dijaringkan oleh Mouhamadou Moustapha (m-13, m-29) dan Mohd Nizab Ayub (m-25), manakala gol ATM dijaringkan oleh Standley James (m-7) dan Mohd Nazri Akui (m-45+1).

Di Stadium Darul Makmur Kuantan, Shahzan Muda menewaskan PKNS 3-1.

Proton FC mengejutkan Johor Pasir Gudang dengan kemenangan 1-0, menerusi jaringan Marcos Santana di minit ke-45 di Stadium Petaling Jaya.

Melaka hanya mencatat keputusan seri 2-2 dengan Felda United di Stadium Hang Tuah, Melaka.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4yqTHlaZt
© Utusan Melayu (M) Bhd

KL Plus terus gah di persada



ARKIB : 18/03/2008

KUALA LUMPUR – Kuala Muda Naza terus menekan pendahulu Liga Perdana, KL Plus selepas mencatatkan kemenangan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), semalam.

Kuala Muda Naza mengalahkan ATM 1-0 pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Star membolehkannya mengumpul 39 mata tetapi kurang satu perlawanan berbanding KL Plus.

Gol tunggal Kuala Muda Naza dijaringkan oleh Liew Kit Kong pada minit ke-69.

Sementara itu, KL Plus pula berjaya mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu liga dengan mencatatkan kemenangan di Stadium Selayang, Selangor menewaskan pasukan Harimau Muda 1-0 hasil jaringan pemain import, Andrian Trinidad pada minit ke-52.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), tuan rumah PKNS tersungkur di tangan Sabah apabila tewas 1-2.

Sabah mendahului PKNS 2-0 melalui jaringan Hishamuddin Othman pada minit ke-44 dan Andrei Scottie pada minit ke-70, PKNS memperoleh gol tunggal menerusi jaringan Mohizam Shah Dawood Shah pada minit ke-76.

Di Stadium Sultan Mohd IV, Kota Bharu pula, Kelantan berpesta gol apabila pemain import mereka Mouhamadou Moustapha ‘mengamuk’ dengan menjaringkan lima gol bagi membolehkan pasukan tuan rumah itu membenam Proton FC 5-1.

Gol dari pemain import kelahiran Senegal itu dijaringkan pada minit- minit ke-15, 20, 59, 62 dan 77 sementara gol sagu hati Proton FC pula disumbangkan melalui jaringan sendiri pemain Kelantan, Sarudy Aziz pada minit ke 69.

Di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, Felda United gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 0-2 kepada Shahzan Muda.

Gol Shahzan Muda disumbangkan oleh dua orang pemain import mereka, Luis de Olivers pada minit ke-31 dan Anthony Milicic pada minit ke-68.

Sementara jaringan tunggal pada masa kecederaan membolehkan Johor Pasir Gudang menang ke atas Kuala Lumpur 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor.

Gol yang dijaringkan oleh Othelo Ocampos pada masa kecederaan separuh masa kedua (m-94) memberikan mata berharga kepada pasukan Johor Pasir Gudang.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4ypaoOX9o
© Utusan Melayu (M) Bhd