Sabtu, 10 September 2016

KL kekal tercorot


 

ARKIB : 26/05/1998
REBUT ... Pemain Kuala Lumpur, S. Paidiyah Rau melompat tinggi melepasi terkaman penjaga gol Olimpik 2000, Jamsari Sabian pada perlawanan Perdana Satu di Stadium Merdeka. Kuala Lumpur menang 2-1. - Gambar ZUL AZHAR SHEBLEE.

IGAUAN buruk Kuala Lumpur dalam sembilan perlawanan tanpa sebarang kemenangan menemui titik noktahnya apabila jaringan kemenangan S. Paidiyah Rau menewaskan skuad Olimpik 2000 2-1 dalam perlawanan Perdana Satu di Stadium Merdeka malam tadi.

Ini adalah kemenangan pertama yang diperolehi oleh skuad warga kota selepas terhimpit tanpa sebarang kemenangan hingga memaksa jurulatihnya Chow Kwai Lam dipecat selaku jurulatih digantikan oleh Mat Zan Mat Aris.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada satu ketika dengan Olimpik mendahului menerusi jaringan Mohd Khalid Jamlus (m- 48) tetapi P. Saravanan menyamakan kedudukan seminit selepas itu.

Gol kemenangan Kuala Lumpur dihasilkan oleh Paidiyah Rau 12 minit perlawanan hendak ditamatkan.

Olimpik hanya mencemaskan benteng pertahanan Kuala Lumpur pada minit ke-22 namun hampa melihat tandukan kencang Mohd Khalid Jamlus melewati palang gol hasil sepakan sudut.

Seminit selepas itu giliran skuad wargakota pula terlepas peluang membuka tirai jaringan apabila sepakan percuma Adilson Rocque dari jarak 30 meter berjaya ditepis keluar oleh Jamsari Sabian.

Pada minit ke-25 Khalid sekali lagi kecewa melihat sepakannya ketika penjaga gol skuad warga kota Azmin Azram sudah tertewas sekadar melintasi di depan pintu gol.

Gol yang dicari menjadi milik Olimpik dijaringkan oleh Mohd Khalid Jamlus tiga minit selepas babak kedua bermula.

Khalid melepasi perangkap offsaid hasil hantaran jauh Yuzaiman Zahari sebelum dia melepaskan rembatan menewaskan Azmin yang cuba keluar menyelamatkan keadaan.

Kelebihan milik tuan rumah tidak mampu bertahan lama apabila Kuala Lumpur memperolehi gol penyamaan seminit selepas itu hasil sepakan percuma P. Saravanan dari luar kotak penalti.

Pada minit ke-78, S. Paidiyah Rau menjaringkan gol kedua Kuala Lumpur selepas mendapat hantaran jauh Rocque untuk merembat masuk menewaskan Jamsari.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4JqNNnhgw © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan