Ahad, 25 September 2016

10,000 penyokong sertai sambutan rai kemenangan JDT

26 September 2016 12:08 AM

TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim turut bersama pemain dan pegawai JDT meraikan kejayaan memenangi Liga Super selepas acara perarakan berakhir di Dataran Bandaraya Johor Bahru , semalam. (Gambar kecil) Tunku Ismail mengucup trofi Liga Super selepas majlis penyampaian setelah JDT menumpaskan TFC II di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru.
  
JOHOR BAHRU 25 Sept. – Kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul kejuaraan Piala Super tiga tahun berturut-turut diraikan kira-kira 10,000 penyokong yang membanjiri Dataran Bandar Raya Johor Bahru di sini malam tadi.

Kebanyakan penyokong mula membanjiri kawasan dataran sejak petang dan menyaksikan perlawanan antara JDT dan Terengganu FC (TFC) II yang disiarkan menerusi layar skrin gergasi.

Sebahagian daripada penyo­kong juga dilihat turut menunggu di sepanjang jalan yang menjadi laluan perarakan pemain-pemain dan staf kejurulatihan JDT menggunakan bas dua tingkat.

Sebelum perarakan itu, penye­rahan trofi Liga Super 2016 kepada JDT dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam kepada Presiden Kelab Bola Sepak JDT, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Pemain-pemain dan staf kejurulatihan JDT kemudiannya diarak dari stadium melalui jalan-jalan utama di bandar raya ini seperti di hadapan pejabat Bomba Larkin, pejabat Jabatan Pe­ngangkutan Jalan (JPJ) lama, Jalan Tun Razak, City Square sebelum membuat pusingan U ke Jalan Wong Ah Fook.

Perarakan itu turut melalui hadapan Hotel Tropical Inn, Jalan Trus, Kotaraya, Jalan Ibrahim sebelum membuat pusingan U ke Jalan Tun Dr. Ismail, Lot 1, Hospital Sultanah Aminah dan kemudiannya membuat pusingan U di hadapan Gerbang Istana Bukit Serene dan berakhir di Dataran Bandar Raya Johor Bahru.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam ucapannya melahirkan kesyukuran serta berterima kasih kepada semua pihak khusus­nya pemain, staf kejurulatihan serta Tunku Tun Aminah dan juga isteri Che Puan Khaleeda Bustamam.

“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor atas semua sokongan ba­ginda terhadap projek bola sepak JDT.

“Terakhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua kerana sokongan anda sejak 2013 amat bermakna, bukan sahaja kepada saya tetapi kepada seluruh Bangsa Johor dan pasukan bola sepak JDT,” katanya.

Sementara itu, ketua pasukan Safiq Rahim dalam ucapannya melahirkan rasa terima kasih kepada Tunku Ismail yang selama ini banyak memberi motivasi dan nasihat sehingga pasukan itu mencapai banyak kejayaan.

“Saya berharap agar Tunku Mahkota Johor akan sentiasa ada dalam Persatuan Bola Sepak Ne­geri Johor hingga generasi akan datang.

“Tidak lupa juga kepada semua penyokong yang menjadi pemain ke-12. Terima kasih kerana sentiasa menyokong kami ketika kami jatuh dan bangun, ketika kami di atas atau di bawah,” katanya.

Kemuncak sambutan pada malam itu dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api dan tamat kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/10-000-penyokong-sertai-sambutan-rai-kemenangan-jdt-1.387150#sthash.PcQZ1oxU.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan