Selasa, 13 September 2016

Laluan Sarawak semakin sukar

ARKIB : 29/07/1998
SARAWAK gagal memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila tewas 0-1 kepada Sabah pada pusingan kedua Liga Perdana Satu di Stadium Sarawak, Petra Jaya, malam tadi.

Gol tunggal kemenangan pasukan pelawat dijaringkan oleh penyerang Mohd. Jaya Kassim minit ke-82.

Pada pusingan pertama di Kota Kinabalu, Sarawak kecundang juga dengan jaringan yang sama kepada musuh tradisinya itu.

Dengan kekalahan ini bermakna laluan Bujang Senang untuk mencari tempat ke pertandingan Piala Malaysia semakin sukar.

Bermain di hadapan kira-kira 5,000 penonton, skuad Bujang Senang turun dengan penuh bersemangat untuk memburu kemenangan.

Pasukan tuan rumah nyata menguasai hampir keseluruhan perlawanan dan melancarkan serangan bertali-arus sebaik saja saingan dimulakan.

Bagaimanapun, kepincangan barisan hadapan yang disandarkan kepada Bobby Pian dan Ramles Sari gagal melakukan penyudah yang diharap-harapkan.

Tanpa penyerang import, Alistair Edwards, jentera di posisi serangan kelihatan agak tumpul dan beberapa percubaan yang dilakukan sering melewati sasaran.

Sarawak memulakan ancaman seawal minit ketiga, tetapi rembatan Bobby Pian melewati palang gol.

Dua tendangan sudut yang diperoleh minit ketujuh dan kelapan sekadar menyaksikan tandukan Doug Ithier liar ke penghujung padang.

Sarawak terus berusaha untuk mencari gol dan menggandakan asakan demi asakan.

Ketua pasukan, Billy Bone mempunyai kesempatan terbaik minit ke-14 untuk membocori gawang lawan, tetapi Khairul Azman lebih tangkas menidakkan percubaan itu.

Pasukan pelawat nyata tidak berputus asa, malah sesekali berkesempatan melakukan serangan balas terutama menerusi Jaya dan David Rocastle. Pada minit 32, Jaya hampir memalukan Sarawak, tetapi tendangan kencangnya melangkaui sasaran.

Pemain kelahiran Tawau itu sekali mempunyai peluang terbaik minit ke-60, namun rembatannya serong.

Dua minit sebelum perlawanan tamat, Ibrahim Mentali mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan, tetapi tandukannya melewati sasaran.

Oleh: ANUAR ARIFFIN




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4KBcrRbqS © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan