Selasa, 13 September 2016

Ganjaran RM50,000 untuk wira P. Pinang

ARKIB : 03/08/1998
 
SYABAS WIRAKU ... Penjaring gol kemenangan Pulau Pinang ketika menewaskan Selangor 2-1 kelmarin, Merzagua Abderrazak menjadi tumpuan ramai apabila menerima ucapan tahniah dan sambutan meriah peminat skuad Harimau Kumbang itu sebaik sahaja tiba dengan bas dari Kuala Lumpur, semalam.
Pulau Pinang mencipta sejarah tersendiri dengan menjuarai bola sepak Liga Perdana Satu selepas menamatkan perlawanannya di Shah Alam kelmarin dengan mengumpul 41 mata, memintas pencabar terdekat, Pahang.

Inilah kejayaan paling gemilang mereka dalam tempoh 16 tahun selepas kali pertama bergelar juara liga pada 1982.


KEJUARAAN liga hanya pencetus semangat sedangkan ganjaran lebih besar menanti kesemua pemain Pulau Pinang sekiranya berjaya merangkul piala paling berprestij, Piala Malaysia musim ini.

Selepas muncul juara liga menerusi kemenangan 2-1 ke atas Selangor di Stadium Shah Alam yang mendorong Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) memberikan imbuhan RM50,000 kepada kesemua wiranya, pasukan ''Harimau Kumbang'' diminta pula menghalakan impian memburu Piala Malaysia.

Presiden FAP, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, berkata, pihaknya sedia menawarkan ganjaran besar jika pemain merealisasikan impian meraih Piala Malaysia, sekali gus mencipta kejuaraan berganda selepas Piala Liga.

''Setakat ini, kita bersetuju memberikan RM50,000 untuk pemain yang membawa pulang Piala Liga kerana bergantung kepada kemampuan semasa FAP,'' kata Dr. Koh.

Bagaimanapun, kata beliau, segala-galanya bergantung kepada kedudukan ''kantung'' FAP yang mengalami sedikit kemerosotan berikutan sambutan tidak menggalakkan daripada penonton dalam beberapa perlawanan terutama sewaktu Piala Dunia.

''Kebiasaannya, hasil kutipan tiket di gelanggang sendiri (Stadium Bandaraya) boleh mencapai RM80,000 dalam sesuatu perlawanan tetapi disebabkan Piala Dunia, kita memperoleh antara RM20,000 hingga RM30,000 sahaja ,'' kata beliau.

Dr. Koh berkata demikian kepada pemberita sewaktu meraikan pegawai dan pemain Pulau Pinang sempena kejayaan merangkul Piala Liga, dalam satu majlis di hadiri lebih 1,000 peminat pasukan ''Harimau Kumbang'' di Stadium Bandaraya, semalam.

Beliau yang juga Ketua Menteri berharap kejayaan meraih Piala Liga akan memastikan peminat Pulau Pinang memberikan sokongan berterusan kepada pasukan tersebut bagi mengatasi masalah kewangan FAP.

Selain itu, kata Dr. Koh, sektor korporat seharusnya sedia memberikan sumbangan seperti menjadi penaja kepada pasukan Pulau Pinang yang berusaha untuk menjuarai Piala Malaysia.

Mengenai peluang Pulau Pinang dalam kancah Piala Malaysia, Dr. Koh berkata, kesemua pemain seharusnya mempunyai semangat tinggi seperti dibuktikan sewaktu mereka merangkul Piala Liga.

''Jangan terlalu menekankan soal ganjaran besar sedangkan keazaman dan semangat tinggi perlu diutamakan bagi memastikan kejayaan Pulau Pinang seterusnya,'' tambah beliau.

Kata Dr. Koh, selepas meraikan kejayaan bermakna buat Pulau Pinang itu, kesemua pegawai dan pemain tidak boleh berehat panjang kerana perlu melakukan persediaan menghadapi Piala Malaysia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4KCvJTY15 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan