Isnin, 26 September 2016

Puas huni tangga ketiga

Izzali Ismail
sukan@hmetro.com.my
 
Alor Setar: Kejayaan Kedah mengesahkan tangga ketiga Liga Super musim ini menggembirakan ketua jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe selepas menewaskan Terengganu 3-0 kelmarin.

Cheng Hoe berkata, pencapaian Kedah menduduki tangga ketiga adalah suatu pencapaian bermakna kerana kesungguhan dan semangat juang tinggi hingga mampu melakar kemenangan di tempat lawan.

Menurutnya, barisan pertahanan Kedah juga bertindak cemerlang apabila tidak bolos dan mengekang jentera serangan Terengganu yang cuba bangkit selepas ketinggalan jaringan pertama melalui Thiago Augusto Fernandes pada minit ke-13.

“Sikap kerjasama antara pemain yang beraksi sebagai satu pasukan dan disiplin yang diterapkan akan tetap menjadi teras pasukan Kedah dalam memburu kejayaan seterusnya.

“Kemenangan ini juga membangkitkan semangat untuk Kedah terus berjuang pada separuh akhir Piala Malaysia bertemu PDRM Jumaat ini,” katanya.

Katanya, sumbangan gol oleh kedua-dua penyerang import Kedah iaitu Thiago Augusto dan Shane Smeltz dalam beberapa aksi menentang Perak, Negeri Sembilan dan Terengganu nyata memberi impak besar dalam pencapaian Kedah pada Liga Super kali ini.

“Kedua-dua penyerang ini yang sudah dua bulan bersama Kedah sejak Julai lalu, berjaya membuktikan penguasaan mereka sebagai penjaring gol berbisa apabila Thiago Augusto setakat ini sudah berjaya menghasilkan lapan gol, sementara pemain yang digandingkan dengannya Smeltz pula menghasilkan 10 gol untuk Kedah dalam Liga Malaysia setakat ini.

“Kombinasi dua penyerang ini sudah menampakkan kesan positif dan dengan keserasian, keyakinan serta persefahaman yang baik sesama mereka diharap dapat menghasilkan kesan yang positif bagi menghadapi separuh akhir Piala Malaysia nanti,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 8:25 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan