Selasa, 13 September 2016

Terengganu belum menyerah kalah

 
PEMAIN Terengganu Issey Farran Morgan Nakajima (kanan) antara nadi serangan Penyu.
Kuala Terengganu: Walaupun kembali berada dalam zon penyingkiran ke saingan Liga Perdana musim depan, pengendali Terengganu Mustaffa Kamal Abd Wahab menegaskan beliau tidak sesekali mengangkat bendera putih kerana peluang buat pasukannya untuk terus kekal dalam kancah Liga Super masih terbuka.

Malah jurulatih berusia 39 tahun itu yang bergandingan dengan gurunya Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor juga percaya dengan baki dua perlawanan lagi bertemu Kedah di Kuala Terengganu pada 24 September ini dan terakhir Pulau Pinang di laman lawan pada 22 Oktober depan selain ditambah pengalaman pemainnya, peluang skuad Penyu untuk kekal belum lagi tertutup.

Bagaimanapun bekas pemain Terengganu yang pernah membantu pasukannya menjulang Piala Malaysia buat kali pertama pada 2001 itu menyatakan keyakinan itu bersyarat iaitu skuad Penyu wajib menang dalam aksi kedua-dua perlawanan itu.

“Kami masih ada dua perlawanan lagi dan sekiranya berjaya mengutip mata penuh dalam dua aksi itu harapan Terengganu untuk terus kekal ke saingan Liga Super pasti cerah walaupun akan mendapat tentangan sengit daripada lawan terutama Pulau Pinang yang juga bergelut untuk kekal di Liga Super,” kata pengendali berasal dari Kuala Berang itu.

Pada perlawanan ke-20 liga Jumaat lalu, Terengganu yang mengidam untuk mengutip satu mata kecewa selepas tumpas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim walaupun mempamerkan aksi meyakinkan sebelum disentap lawan akibat sepakan penalti yang diperolehi skuad Harimau Selatan itu.

Ketika ditanya adakah anak buahnya kini berada dalam keadaan tertekan untuk mengekalkan status gelaran pasukan utama negeri selepas pasukan ‘adik’ sudah sah kekal dalam saingan Liga Super musim depan, Mustaffa menolak tanggapan itu sebaliknya mengaku pemainnya semakin bersemangat untuk mencatat kemenangan dalam dua aksi penting itu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 8:22 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan