Selasa, 13 September 2016

Jaringan emas daripada Abderrazzak

ARKIB : 03/08/1998
PULAU Pinang menamatkan penantian 16 tahun apabila dimahkotakan selaku juara Perdana Satu mengetepikan saingan utama Pahang dengan kelebihan satu mata, lapor AMRAN MULUP.

Kejayaan ini pastinya meletakkan Pulau Pinang kembali selaku pasukan berstatus elit dan bakal menjadi tumpuan apabila kempen Piala Malaysia bermula bulan depan.

Kali terakhir skuad Harimau Kumbang merangkul gelaran liga pada 1982 namun perjuangan terakhir malam kelmarin jelas membuktikan Pulau Pinang tidak boleh dinafikan kehebatan sebenar mereka.

Kejayaan ini sedikit sebanyak menebus kehampaan mereka ketika sekadar meraih naib juara Piala FA musim lalu tunduk 1-0 kepada Selangor dalam perlawanan akhir.

Namun Pulau Pinang seharusnya berterima kasih kepada Brunei yang berjaya menyekat pendahulu liga Pahang dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan di Bandar Seri Begawan.

Keputusan itu membolehkan Pulau Pinang dimahkotakan selaku juara liga selepas mereka diselamatkan dengan jaringan kemenangan Merzagua Abderrazzak di minit-minit terakhir untuk memberikan kemenangan 2-1 menewaskan Selangor di Stadium Shah Alam.

Pesta ringkas di Stadium Shah Alam yang turut dihadiri oleh Presiden FAP, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon serta di kalangan 3,000 penyokong mereka membuka lembaran baru diari bola sepak Pulau Pinang.

Kelebihan memihak kepada Pulau Pinang dengan kelebihan satu mata apabila mengumpul 41 mata berbanding Pahang sekadar selesa selaku naib juara Piala Malaysia musim lalu memperoleh 40 mata.

Kejayaan ini turut melegakan kantung Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) dengan habuan lumayan RM150,000 menjadi milik selaku juara liga.

Nasib Pahang masih belum ditentukan untuk diiktiraf selaku naib juara selepas menamatkan cabaran liga ketika Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memutuskan keputusan tindakan mereka menurunkan pemain yang digantung sewaktu pertemuan dengan Perak minggu lalu.

Jika Pahang didapati bersalah sekalipun yang memungkinkan mata mereka dipotong ia tidak menjejaskan kedudukan skuad Tok Gajah kekal di tangga kedua.

Buat Pahang ini sudah pastinya kekecewaan yang sukar untuk ditelan ketika kejayaan hampir digapai selepas beberapa minggu berada di persada Perdana Satu, secara tiba-tiba ia terlucut tidak sampai 24 jam.

Brunei semi finalis Piala Malaysia musim lalu melangkah setapak lagi untuk berada di tangga ketiga iaitu kedudukan terbaik buat mereka dalam saingan liga.

Turut mengiringi ketiga-tiga gergasi itu ke Piala Malaysia ialah Kedah, Sabah dan Sarawak manakala Terengganu selaku juara Perdana Dua melengkapkan enam pasukan yang layak secara automatik.

Manakala tiga kekosongan yang tinggal bagi melengkapkan sepuluh pasukan mengharungi kempen Piala Malaysia bulan depan kini terpaksa diburu oleh enam pasukan yang ditentukan dalam perlawanan play-off.

Persaingan dalam perlawanan play-offmenyaksikan persaingan empat pasukan dari Perdana Satu terdiri daripada juara Piala Malaysia tiga musim berturut-turut, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Perak.

Manakala dua pasukan dari Perdana Dua, Johor dan Kelantan melengkapkan enam pasukan yang akan bersaing sesama sendiri dalam memburu tiga tempat ke Piala Malaysia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4KCy2iv00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan