Isnin, 26 September 2016

JDT buru rekod tanpa kalah

26 September 2016 12:09 AM
JOHOR BAHRU 25 Sept. – Juara Liga Super tiga kali berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) kini mengalih tumpuan kepada memburu rekod menjadi pasukan pertama tidak terkalahkan apabila menentang Selangor dalam perlawanan terakhir bulan depan.
Mario Gomez

Pengendali JDT, Mario Gomez berpuas hati dengan prestasi yang ditonjolkan skuad kendaliannya yang setakat ini berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sama ada di laman sendiri atau lawan.

“Saya sangat gembira de­ngan kejayaan ini. Ini merupakan hasil daripada kerjasama semua pihak bermula daripada pihak atasan, pemain, jurulatih hinggalah penyokong.

“Saya juga mahu pemain terus fokus untuk menentang Selangor dalam perlawanan terakhir pada 22 Oktober nanti untuk mencipta rekod sebagai satu-satunya pasukan yang berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam liga,” katanya selepas tamat perlawanan antara JDT dengan Terengganu FC (TFC) II malam tadi yang menyaksikan Harimau Selatan membenam The Titans 5-1.

Mengulas mengenai perlawanan dengan TFC II di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, pengurus dari Argentina itu mengakui begitu teruja degan persembahan yang dipamerkan anak buahnya meskipun beberapa pemain tonggak direhatkan.

“Mereka bermain dengan baik, semua pemain tahu tugas masing-masing dan melaksanakan semuanya seperti yang dirancang. Apa yang paling penting ialah moral mereka kini berada di tahap yang tertinggi,” katanya.

Gomez yakin faktor menjuarai Liga Super tiga kali berturut-turut akan menyemarakkan semangat anak-anak buahnya menjelang perlawanan separuh akhir Piala AFC menentang Bengaluru di Larkin pada Rabu ini.

Katanya, pasukannya tidak mengalami sebarang tekanan meskipun perlawanan seterus­nya akan dijalankan dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-buru-rekod-tanpa-kalah-1.387155#sthash.lGlA3iSY.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan