Jumaat, 2 September 2016

N. Sembilan berpeluang uji skuad Olimpik 2000

ARKIB : 17/04/1998
N. Sembilan berpeluang uji skuad Olimpik 2000
NEGERI Sembilan yang menemui semula sentuhan berbisanya berpeluang menguji kehebatan pasukan Olimpik 2000, apabila kedua pasukan itu bertarung pada Liga Perdana Satu di Stadium Merdeka, malam ini, lapor SHAZALI HUSSAIN.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Jamaludin Ahmad mengingatkan pemainnya agar tidak mengambil mudah apabila berdepan dengan anak buah jurulatih dari Tunisia, Hatem Soussi,

Jamaludin yang juga Pengurus Pasukan berkata, walaupun Olimpik 2000 masih belum meraih kemenangan, tetapi mereka mempunyai kelebihan kerana beraksi di gelanggang sendiri.

''Namun begitu peluang Negeri Sembilan tetap ada seandainya kesemua pemain yang diturunkan dapat mengekalkan kehebatan yang serupa ketika menewaskan Perlis,'' ujarnya.

Mengenai peluang pasukannya, Jamaludin yang juga bekas pemain negeri berkata, hanya pasukan yang bijak mencari kesilapan lawan sahaja akan memenangi perlawanan malam ini.

Sementara itu jurulatih, M. Karathu berkata, beliau tidak berhajat membuat banyak perubahan kecuali menukar seorang dua pemain yang mengalami kecederaan untuk menentang Olimpik 2000.

''Bagaimanapun, pemain yang telah beraksi dengan cemerlang dikekalkan kecuali pemain yang mengalami kecederaan akan direhatkan,'' katanya.

Bagaimanapun, Karathu agak resah kerana berkemungkinan tidak dapat menurunkan beberapa pemain utama termasuk penyerang Affendi Julaihi kerana masih lagi dibelenggu kecederaan.

''Namun begitu, saya masih mempunyai penyerang Scott Ollerenshaw, Halim Jantan, Gus Cerro, Ching Hong Aik, Zami Mohd Noor dan rakan-rakannya untuk melakukan tugas menjaringkan gol,'' ujarnya.

Oleh kerana itu, Karathu mengingatkan para pemain lebih berhati-hati dan jangan sekali-kali melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan semangat pasukan.

''Saya mahu pemain menganggap Olimpik 2000 sebuah pasukan muda yang berpengalaman dan mempunyai gandingan yang mantap pada semua posisi,'' ujarnya.

Bercakap mengenai peluang pasukannya, jurulatih kelahiran Perak itu berkata, kedua-dua pasukan mempunyai peluang, tetapi siapa lebih pintar mencari kelemahan lawan, peluang memenangi perlawanan lebih cerah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4JA3JJop6 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan