Ahad, 25 September 2016

Itu cerita lama: Gomez

Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my
 
Johor Bahru: Kejayaan merangkul Piala Liga Super tiga musim berturut-turut sudah dikecapi dan kini Johor Darul Ta’zim (Johor DT) akan meneruskan perjuangan pada separuh akhir Piala AFC di Stadium Larkin, Rabu ini.

Bengaluru pernah ditewaskan pada aksi peringkat kumpulan namun kedua-dua pasukan itu sekali lagi bertemu pada separuh akhir yang menjadi penentu sama ada Harimau Selatan mampu mara ke final untuk mempertahankan kejuaraan Piala AFC.

Bagi pengendali Johor DT, Mario Gomez menganggap cabaran getir menanti skuad bimbingannya walaupun pernah menundukkan kelab India itu 1-0 ketika aksi di Bangalore sebelum menang 3-0 di Larkin.

“Itu cerita lama dan kami tidak boleh terlalu mengharapkan rekod pencapaian lalu memandangkan Bengaluru sudah berwajah baharu dengan dibarisi pemain import dan jurulatih baharu dari Sepanyol dan mereka pasti memberi cabaran terhadap Johor DT.

“Ketika mereka beraksi pada suku akhir menentang Tampines Rovers di Singapura baru-baru ini, saya menyaksikan sendiri corak permainan Bengaluru dan apa yang saya boleh rumuskan corak permainan pasukan itu agak berbeza berbanding ketika saingan peringkat kumpulan.

“Apa pun persediaan rapi akan dibuat untuk berdepan pasukan itu malah kami amat bangga selepas layak ke separuh akhir kali kedua-dua berturut-turut dan meletak sasaran untuk layak ke final bagi mempertahankan kejuaraan Piala AFC yang dimenangi musim lalu,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai kejayaan merangkul kejuaraan liga tiga musim berturut-turut, pengendali dari Argentina itu menyifatkan ia pencapaian terbaik sepanjang karier selaku jurulatih tatkala menamatkan aksi liga di laman sendiri dengan rekod bersih tanpa kalah.

Beliau berkata, kekuatan mental setiap pemain yang berjaya mengharungi jadual saingan liga yang padat memainkan peranan untuk Johor DT melakar sejarah kerana bukan senang untuk mengimbangi kekuatan fikizal dan mental untuk bersaing dalam kempen liga tempatan dan peringkat Asia.

“Jika kami kuat hanya pada fizikal tapi tidak ada kekuatan mental, kami tidak akan capai apa yang kami raih sekarang. Oleh itu ia perlu seimbang dan pemain sedar kedua-dua kekuatan itu amat penting dan mereka berjaya membuktikannya.

“Tidak dinafikan, kejuaraan liga memberi impak positif kepada pemain yang mahu meneruskan rentak kemenangan dan kami akan cuba sedaya upaya memberi persembahan terbaik pada aksi separuh akhir Piala AFC dan juga baki satu lagi aksi liga bulan depan,” kata Gomez.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 8:21 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan