Selasa, 13 September 2016

Sarawak belum mengalah

ARKIB : 30/07/1998
LALUAN juara Sumbangsih, Sarawak untuk melayakkan diri ke pertandingan Piala Malaysia musim ini masih lagi belum berakhir.

Biarpun kekalahan 0-1 kepada musuh tradisi, Sabah di gelanggang sendiri, kelmarin jelas menyukarkan lagi harapan Bujang Senang untuk menempatkan diri dalam enam pasukan teratas Perdana Satu yang layak secara automatik menyertai pertandingan berprestij itu.

Bujang Senang mempunyai baki satu lagi perlawanan iaitu menentang Kuala Lumpur di gelanggang sendiri Sabtu ini.

Justeru, Sarawak perlu memenangani perlawanan penting itu walaupun dalam sisa-sisa perjuangan terakhir dengan mengharapkan pasukan-pasukan yang mempunyai peluang yang sama kecundang kepada lawan masing-masing.

Dengan mengumpul 27 mata dan berada pada anak tangga kesembilan, turun dua anak tangga ke bawah, peluang Bumi Kenyalang untuk menempah tempat ke cabaran Piala Malaysia dilihat 'terpaksa menempuh onak dan duri'.

Ini memandangkan Sabah, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor mempunyai peluang yang sama cerah untuk mengisi dua lagi kekosongan selepas Pahang, Pulau Pinang, Brunei dan Kedah sudah mengesahkan tempat lebih awal.

Terengganu dan Johor dari Perdana Dua turut layak beraksi dalam kempen Piala Malaysia.

Apakah tanpa kehadiran Alistair Edwards yang digantung dua perlawanan menjadi punca kekalahan tipis Sarawak kepada jiran tetangganya, kelmarin?

Mungkin ketiadaan penyerang import dari Lebanon itu menjadi salah satu penyebabnya, tetapi berdasarkan persembahan yang disajikan, jelas sekali anak-anak didik Alan Vest masih 'tumpul' dalam melakukan penyudah yang tepat.

Malah, Sarawak yang menguasai hampir keseluruhan permainan terutama pada separuh masa pertama kelihatan 'tempang' dalam menyempurnakan peluang-peluang yang terhidang.

Strategi jurulatih Alan Vest meletakkan Bobby Pian dan Ramles Sari selaku penyerang tidak begitu berkesan walaupun kedua-dua pemain tersebut telah menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi.

Sambil dibantu oleh Mohd. Ali Sapiee, Ramos Sari dan Billy Bone di bahagian tengah, Bobby dan Ramles bertindak cemerlang dengan mengucar-kacirkan benteng pasukan pelawat dan memaksa penjaga gol, Khairul Azman Mohamad bekerja keras.

Sekurang-kurangnya lapan tendangan sudut diperoleh Sarawak, tetapi semuanya gagal diterjemahkan menjadi jaringan berharga.

Sabah, yang tertekan di sepanjang perlawanan ada kalanya melakukan serangan balas dan Mohd. Jaya Kassim dan David Rocastle sering menjadi 'duri dalam daging' buat Bujang Senang.

Apatah lagi dengan mendapat bantuan dari bahagian tengah yang dikepalai bekas pemain kebangsaan Yap Wai Loon, jentera skuad 'Sang Badak' seakan sangat berbahaya.

Dan, segalanya berubah pada minit ke-82 apabila Jaya, pemain lincah kelahiran Tawau berjaya melepasi kawalan barisan pertahanan Sarawak untuk menjaringkan gol tunggal kemenangan 'Negeri Di Bawah Bayu'.

Sarawak tidak putus asa dan seminit sebelum permainan ditamatkan, Ibrahim Mentali mempunyai peluang terbaik untuk menyamai kedudukan.

Bagaimanapun, tandukan yang agak keras itu gagal menyinggah ke dalam jaring pasukan lawan.

Selepas bertindak cemerlang dengan mencapai kemenangan empat kali berturut-turut, kekuatan Sarawak mulai rapuh apabila tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan di Paroi dan 0-1 kepada Sabah di gelanggang sendiri.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4KBlGPI6G © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan