ARKIB : 15/04/1998
TANDUKAN emas Merzagua
Abderrazak Pulau Pinang lima minit sebelum tamat permainan menjadi penyelamat
untuk mereka berkongsi mata 1-1 dengan Sarawak dalam perlawanan bola Perdana
Satu di Stadium Sarawak, Kuching malam tadi, lapor KHAIRUDDIN MOHD. AMIN.
Sarawak yang mendapat gol
seawal minit ke tiga menerusi sepakan penalti ketua pasukannya, Billy Bone
bagaimanapun gagal mengambil kesempatan kelebihan itu untuk menambahkan
jaringan.
Gol berpunca daripada gerakan
cantik Ramos Sari yang cuba membawa bola ke arah pintu gol setelah menerima
hantaran Alistair Edwards.
Menyedari kelincahan ketua
pasukan Sarawak, Mohd. Zaidi menjatuhkannya dalam petak penalti bagi menghalang
Billy berdepan dengan penjaga gol, Ahmad Sobri Ismail. Pengadil Mustaq Khan
dengan tidak teragak-agak menunjukkan ke arah sepakan penalti.
Terkejut dengan gol awal itu
skuad Harimau Kumbang mula memperkemaskan jentera serangan dengan beberapa
gerakan menarik yang mencemaskan penonton tuan rumah.
Usaha Pulau Pinang itu hampir
berjaya menyamakan kedudukan dua minit selepas itu apabila tendangan Merzagua
melepasi palang gol setelah mendapat umpanan lambung daripada Ng Kok Heng dan
serangan terus bertukar ganti selepas itu sehingga wisel rehat direhatkan.
Sarawak hampir dapat
menjarakkan jaringan sembilan minit selepas permainan disambung semula apabila Alistair
menanduk kencang ke arah gol tetapi Mohd. Zaidi menjadi penghalang.
Pada minit ke-61 Sarawak sekali
lagi mendapat peluang keemasan apabila percubaan Alistair ditampan oleh Ahmad
Sobri manakala tendangan Bobby Pian dihalang oleh pertahanan Pulau Pinang.
Tujuh minit selepas itu Ramos
sekali lagi memukau penonton dengan larian solonya menggelecek beberapa
pertahanan Pulau Pinang bagaimanapun tolakan ke belakang ke pada Bobby Pian
tidak dimanfaatkan oleh pemain itu apabila tendangannya melambung tinggi
walaupun hanya perlu menewaskan penjaga gol.
Permainan terus menjadi rancak
dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan dan pada minit ke-85 Marzagua
menghampakan Sarawak yang sudah hampir pasti menggenggam tiga mata apabila
tandukannya menyentuh jaring menewaskan penjaga gol Mazlan Wahid untuk menjadi
wora pasukkannya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4J9eGfwth
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan