Sabtu, 10 September 2016

Kedah tolak tuah

ARKIB : 26/05/1998
Kedah tolak tuah
KEDAH mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri apabila seri 3-3 dengan Pahang dalam perlawanan Perdana Satu di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.

Walaupun tanpa tonggak utama, Andre Luis Nascimento yang digantung permainan selepas menerima kad merah ketika bertemu Selangor, namun skuad Kenari hampir menewaskan pendahulu liga itu, selepas mendahului 3-2 pada separuh masa pertama.

Kedah mendahului 1-0 menerusi Mohd. Farouk Ismail selepas beliau berjaya melepasi pertahanan Pahang sebelum menewaskan penjaga gol, Mudzar Mohamad, hanya enam minit selepas permainan bermula.

Bagaimanapun dalam kegembiraan mendahului Pahang, Kenari dikejutkan dengan jaringan penyamaan Mohd. Ali Md. Tahar selepas berlaku perebutan di hadapan gol Kedah.

Kedua-dua pasukan kemudiannya terus melakukan serangan dalam permainan yang agak pantas dan menyaksikan beberapa percubaan berbahaya.

Pahang mengundang padah pada minit ke-22 apabila pemain pertahanannya, Ahmad Shukri Mustaffa membuat asakan keras dari belakang terhadap Nidzam Adzha Yusoff di dalam petak penalti.

Kane Mamadou yang mengambil sepakan penalti menyepak bola ke penjuru kanan Pahang untuk menewaskan Mudzar bagi gol kedua Kedah.

Kegembiraan Kedah mendahului Pahang tidak lama apabila Melnikov Viatcheslav tidak mensia-siakan kelalaian pertahanan Kedah yang membiarkannya di hadapan gawang gol.

Kedah mendapat gol ketiga apabila Zulfatah Dzulkarnain yang masuk menggantikan Nidzam Adzha membuka ruang untuk Carlos Roberio menyumbat gol ketiga Kedah pada minit ke-38.

Selepas lama terhibur mendahului pasukan lawan, Kedah dikejutkan pada minit ke-79 apabila kesilapan Kane Mamadou yang memberi laluan kepada Melnikov untuk gol penyamaan hasil hantaran Azizul Kamaludin.

Mamadou yang membantah keputusan pengadil selepas gol Pahang itu dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Abdul Ghani Ishak. Begitu juga dengan ketua pasukan, Radhi Mat Din turut dikenakan kad kuning, yang pertamanya kerana membantah keputusan pengadil.

Oleh: MARZUKI MOHAMAD

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4JqRM7lGF © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan