Sabtu, 24 September 2016

JDT sambut trofi Liga Super dengan bergaya

25 September 2016 12:13 AM

 KETUA pasukan JDT Safiq Rahim dan Tunku Aminah Sultan Ibrahim
KETUA pasukan JDT Safiq Rahim dan Tunku Aminah Sultan Ibrahim menjulang trofi Liga Super 2016 yang diterima selepas perlawanan menentang TFC II di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru malam tadi. mingguan/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 24 Sept. – Juara tiga kali berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) menyambut kedatangan trofi Liga Super ke pangkuan mereka de­ngan berpesta gol apabila membenam Terengganu FC (TFC) II 5-1 dalam perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini malam ini.

Skuad Harimau Selatan, yang telah mengesahkan kejuara­an pada 9 September lalu setelah menundukkan Terengganu 3-0 ketika musim masih berbaki dua perlawanan, memperoleh gol sulung perlawanan seawal minit keenam menerusi Amirul Hadi Zainal sebelum penyerang dari Argentina, Juan Martin Lucero me­lebarkan jurang dengan jaringan pada minit ke-26 dan 34.

The Titans yang menggandakan asakan berjaya merapatkan jurang gol untuk seketika menerusi Patrick Dos Santos pada minit ke-43 namun kesilapan Abdoulaye Maiga yang tertampan bola ke gawang sendiri pada masa tambahan separuh masa pertama terus memberi tekanan kepada pasukan pelawat.

Lucero kemudian mencipta jaringan hatrik apabila menja­ringkan gol kelima pada minit ke-60 dan JDT kelihatan ber­puas hati dengan kedudukan itu hingga tamat permainan.

Kemenangan itu menjadi permulaan sempurna kepada sam­butan meraikan kejayaan JDT mencipta sejarah pasukan pertama menjuarai Liga Super tiga kali berturut-turut dengan trofi kejohanan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liabi­lity Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam kepada Presiden Kelab Bola Sepak JDT, Tunku Puteri Johor, Tunku Aminah Sultan Ibrahim.

Sambutan itu berterusan de­ngan pemain-pemain dan staf kejurulatihan JDT kemudiannya diarak menggunakan bas dua tingkat melalui jalan-jalan utama di bandar raya ini hingga ke Dataran Bandaraya.

Sementara itu, Pahang menghidupkan semula peluang mereka untuk terus kekal dalam Liga Super musim depan apabila meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Darul Makmur. Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain pertahanan Matthew Davies seawal minit ke-12. Kemenangan itu meletakkan Pahang di anak tangga ke-10 liga.

Dalam pada itu, hajat Sarawak untuk membawa pulang tiga mata berharga tidak kesampaian apabila Felda United menjaringkan gol penyamaan pada penghujung permainan untuk mengikat kedudukan 3-3 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Selangor pula terpaksa berputih mata apabila pemain pertahanan Ugo Ukah tertampan bola ke dalam gawang sendiri sekali gus memberi kemena­ngan 1-0 kepada Perak di Stadium Shah Alam manakala Kedah tidak berdepan masalah untuk membelasah Terengganu 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-sambut-trofi-liga-super-dengan-bergaya-1.386835#sthash.UH5TDiIK.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan