ARKIB : 15/04/1998
REMBAT ...Pemain Selangor, Rusdi Suparman menyepak bola melepasi pemain Pahang,Khairul Nizam Mustapha pada perlawanan Liga Perdana Satu di Stadium Shah Alam, malam tadi. Selangor menang 1-0. - Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH.
AZMAN Adnan muncul hero menunaikan hajat Selangor untuk mengutip kemenangan pertama apabila berjaya menewaskan Pahang 1-0 dalam perlawanan Perdana Satu di Stadium Shah Alam malam tadi, lapor AMRAN MULUP.
Ketika perlawanan jelas menjadi milik Pahang dengan penguasaan penuh pelawat namun kebangkitan Merah Kuning pada babak kedua dengan jaringan tunggal Azman pada minit ke-77 mencacatkan rekod tanpa kalah Pahang dalam dua perlawanan lalu.
Kemenangan yang dicari Selangor selepas tunduk 1-3 kepada Sarawak dan seri 1-1 dengan Brunei, pastinya turut melegakan 15,000 pasukan itu.
Bermula dari hantaran cantik Alexander di depan pintu gol lawan tanpa disedari pertahanan, Azman terus meluru sambil merebahkan badan menanduk masuk menggegar jaring.
Seawal minit kelapan penyerang berbisa Pahang, Azizul Kamaluddin nyaris-nyaris meledakkan jaringan awal akibat kesilapan Asroff Hanafiah gagal mengeluarkan bola.
Asakan awal pelawat nyata mengamankan seketika benteng pertahanan Selangor melihat K. Gunalan dan Aizal Lamin kembali dalam kesebelasan utama.
Belumpun reda ancaman awal pelawat, benteng Selangor kembali cemas empat minit selepas itu tetapi lega melihat rembatan kencang Joszef Duro meliar.
Asakan bertali arus terus mengancam tuan rumah dan giliran Azizul turut hampa apabila membuat sepakan liar selepas mendapat umpanan Jalaluddin Abu Jaafar pada minit ke-16.
Dua minit selepas itu Azizul turut hampa rembatan kencangnya dalam kotak penalti ditepis keluar oleh Azlisham.
Dalam keadaan tertekan, Selangor turut mencemaskan pertahanan pelawat namun rembatan kencang Azman selepas menggelecek dua pertahanan lawan melewati beberapa inci palang gol.
Lima minit sebelum rehat Selangor memiliki dua peluang terbaik untuk memecah kebuntuan namun percubaan Azman turut meliar manakala sepakan percuma Aizal pula melewati beberapa inci palang gol lawan.
Pada minit ke-55, Azizul terlepas peluang mencipta jaringan apabila dia hanya menanduk keluar selepas mendapat hantaran cantik Mohd. Ali Tahar.
Dua minit selepas itu giliran Azahruddin Aziz pula kecewa rembatan kencangnya dari luar kotak penalti ditolak keluar oleh Azlisham.
Selangor yang tertekan bangkit mengandakan asakan peluang menyusul milik Shahril Arsat yang menggelecek dua pertahanan lawan tetapi sekadar merembat keluar pada minit ke-59.
Buruan mencari gol akhirnya menjadi milik Selangor menerusi tandukan Azman menyambut hantaran Freeman menewaskan Mudzar Mohamad.
Artikel Penuh: SUMBER-http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4J9ResjxM © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan