Selasa, 13 September 2016

Selangor terdesak

 
PEMAIN Selangor tergamam selepas penyerang Pahang Pablo Vranjican (kanan) menjaringkan gol kemenangan Tok Gajah, Sabtu lalu.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Selangor yang kini berdepan prospek merekod pencapaian Liga Super paling buruk sejak 2012 kini mengharapkan kejuaraan Piala Malaysia untuk menyelamatkan kempen mereka musim ini.

Selepas hanya menduduki tempat keempat dengan baki dua perlawanan liga, Selangor bukan saja gagal mengulangi pencapaian muncul naib juara tiga tahun berturut-turut malah mungkin posisi skuad kendalian K Gunalan itu boleh dipintas pasukan di belakangnya T-Team dan Kelantan.

Kekalahan terbaru kepada pasukan di tangga tercorot Pahang 0-1 Sabtu lalu tidak mahu terus menghantui Red Giants yang akan bertemu PKNS pada suku akhir kedua Piala Malaysia, Sabtu ini di Stadium Shah Alam.

“Apa yang berlaku tidak seperti diharapkan kerana masalah kecederaan pemain. Anda boleh lihat jadual padat, tapi bukan saja untuk kami tapi semua pasukan.

“Menamatkan tempat ketiga dan keempat bukan bagus untuk kami kerana bagi Selangor kami sepatutnya berada di tempat pertama atau kedua atau ketiga. Kami ada perlawanan penting suku akhir Piala Malaysia jadi kami kena fokus perlawanan dengan PKNS,” kata Gunalan yang kini bertindak sebagai jurulatih sementara.

Selangor selaku juara bertahan selepas menjulang trofi Piala Malaysia ke-33 memiliki sedikit kelebihan ke atas kelab Liga Perdana itu selepas menang 4-3 pada suku akhir pertama.

Bagaimanapun apa yang mencetuskan kebimbangan Gunalan adalah status dua pemain import Mauro Olivi dan Patrick Ronaldinho yang mengalami kecederaan hingga terpaksa direhatkan ketika menentang Pahang.

“Untuk bermain dengan PKNS, kami kena bermain lebih baik kerana PKNS pasukan yang bagus. Mereka menduduki tempat kedua dalam Liga Perdana, merea bersemangat tinggi, saya kena buat rombakan.

“Saya harap Mauro dan Patrick dapat kembali untuk membantu pasukan mencapai sesuatu sekurang-kurangnya Piala Malaysia, kami masih ada satu lagi piala untuk dikejar jadi kena berikan yang terbaik ,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 6:02 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan