PEMAIN MU meraikan kejayaan raih gelaran Liga Perdana.
Melaka: Jurulatih Melaka United (MU) Mat Zan Mat Aris berterima kasih atas insentif kepada pemain dan jurulatih yang ditawarkan peluang menunaikan umrah dan melawat gelanggang Manchester United, Old Trafford selepas muncul juara Liga Perdana dan layak ke Liga Super musim depan.
Menurutnya, ganjaran itu amat bermakna buat skuad berkenaan dan berterima kasih kepada penaja serta berharap ia mampu menyuntik semangat lebih positif buat pemain beraksi penuh komited.
Katanya, sebagai pemain profesional beliau mengharapkan insentif itu sebagai satu motivasi penting kepada mereka untuk bertindak lebih cemerlang dalam kerjaya bola sepak masing masing.
Mat Zan berkata, sebenarnya pemain dan jurulatih tidak pernah mengharapkan ganjaran atau imbuhan besar berikutan fokus terarah untuk melakar kejayaan gemilang bersama skuad itu.
“Alhamdulillah hasil perjuangan semua pihak termasuk sokongan peminat menyemarakkan sentuhan terbaik pemain untuk menyerlah dan akhirnya kami mampu mengesahkan kejuaraan lebih awal walaupun masih berbaki dua perlawanan.
“Kami membentuk pasukan ini sebagai sebuah keluarga dan hubungan erat ini nyata menjadi pemangkin kejayaan. Hubungan mesra dalam dan luar padang amat penting untuk saya membentuk perancangan terbaik bagi memastikan keputusan positif,” katanya.
Beliau yakin dua perlawanan terakhir berdepan PKNS dan Sime Darby mampu menambah enam mata maksimum sekali gus melebarkan rekod kemenangan buat pasukan Hang Tuah.
Melaka United sebelum ini hanya tewas sekali di tangan Perlis pada aksi pusingan pertama di Kangar dan selebihnya memenangi 15 perlawanan dan seri empat kali sepanjang 20 saingan liga setakat ini.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 6:00 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan