Selasa, 27 September 2016

Hijau Kuning: Satu lagi mata

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR, Foto: ARENA HIJAUKUNING
24 September 2016
Hijau Kuning: Satu lagi mata 
 Hijau Kuning: Satu lagi mata
BERJAYA menyingkirkan Kelantan di peringkat suku akhir Piala Malaysia 2016 membuka mata kem Hijau Kuning bahawa PDRM bukanlah kelab yang tidak perlu diberi perhatian malah kejutan akan terus berlaku jika Kedah tidak berwaspada.

Itu reaksi spontan Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkenaan lawan mereka yang akan dihadapi pada separuh akhir pertama 30 September ini di Stadium Darul Aman dan aksi timbal balik pada 15 September di Stadium Hang Jebat.

Bagaimanapun, sebelum itu mereka terlebih dahulu berdepan Terengganu pada aksi Liga Super 2016 di Kuala Terengganu, malam ini, dalam usaha untuk terus kekal di tangga ketiga.

Kedah dalam misi mengutip satu mata sahaja lagi untuk mengesahkan kedudukan itu biarpun pasukan masih berbaki satu lagi perlawanan akhir liga menentang Felda United pada 22 Oktober depan.

Mengumpul 34 mata setakat ini iaitu berkelebihan tiga mata di hadapan Selangor yang berada di tangga keempat, Kedah berpeluang besar untuk mengekalkan kedudukan semasa mereka sekiranya mencapai keputusan positif malam ini.

TIADA MASALAH

BERDASARKAN perlawanan ketika menang besar dengan agregat 5-0 ke atas Negeri Sembilan pada suku akhir Piala Malaysia 2016 baru-baru ini, Hijau Kuning dijangka tidak berdepan masalah untuk menjadikan Terengganu sebagai mangsa seterusnya sekiranya berjaya mengekalkan prestasi semasa mereka.

Sang Penyu yang kini satu mata di atas dua pasukan terakhir iaitu Pulau Pinang (18 mata) dan Pahang (14 mata) juga dilihat akan berusaha bermati-matian untuk mengelak mereka tewas kepada Hijau Kuning kerana sudah pasti tidak mahu terperosok ke kelompok penyingkiran.

Perkara ini yang sering dilaungkan oleh Cheng Hoe kepada pemain-pemainnya agar tidak memandang rendah kepada pasukan lawan malah Kedah sendiri yang akan berputih mata jika gagal mengekalkan momentum tinggi yang berjaya dipamerkan sebelum ini.

Rata-rata pemain telah menunjukkan prestasi yang menakjubkan terutamanya di posisi serangan apabila gandingan Thiago Augusto Fernandes - Shane Edward Smeltz semakin berbahaya dan menemui sentuhan gol sejak beberapa perlawanan lalu.

CEMERLANG

KEDAH juga cemerlang dalam mengamalkan corak permainan tempo laju menggunakan pemain sayap seperti Baddrol Bakhtiar dan Syazwan Zainon manakala Liridon Krasniqi dan Amirul Hisham Awang Kechik sering menguasai bahagian tengah perlawanan.

Turut mendapat pujian adalah posisi pertahanan yang diterajui ketua pasukan, Khairul Helmi Johari bergandingan bersama Bang Seung Hwan kerap mematahkan serangan berbahaya lawan manakala Rizal Ghazali dan Ariff Farhan Md Isa pula berfungsi dengan baik membantu melakukan serangan pantas ke kubu lawan dan kembali berkampung dengan cepat sekiranya kubu mereka diasak.
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE  24 September 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan