Selasa, 13 September 2016

Mampukah Pahang pertahankan takhta liga?

ARKIB : 01/08/1998
PERCATURAN merebut juara liga Perdana Satu pasti menjadi debaran Pahang dan Pulau Pinang apabila turun pada perlawanan terakhir mereka malam ini, lapor BAKARUDIN BUSU.

Pahang yang masih berada di tangga teratas dengan 39 mata diikuti Pulau Pinang 38 mata sudah pasti mengharapkan kejayaan gemilang untuk memastikan liga menjadi milik mereka.

Perebutan tersebut bagaimanapun bagaikan ada persamaan apabila kedua-dua pasukan ini akan bertandang lawan bagi menamatkan misi terakhir dalam Perdana Satu tahun ini.

Namun tugas berat sudah pasti menanti Pahang dan Pulau Pinang kerana lawan mereka juga memerlukan kemenangan bagai merebut tempat dalam Piala Malaysia.

Pahang yang akan bertandang di Bandar Seri Bengawan sudah pasti menarik kerana Brunei meskipun sudah melayakkan diri tetapi mahu menamatkan aksi dengan kejayaan gemilang.

Debaran juga pasti menunggu Pulau Pinang kerana lawan mereka, Selangor sudah pasti akan berusaha mencapai kemenangan untuk turut sama layak ke Piala Malaysia.

Perbezaan satu mata serta jumlah gol yang hampir sama menjadikan perebutan juara liga tahun ini terpaksa ditunggu sehingga perlawanan terakhir.

Turut akan menjadi perhatian ialah perebutan empat tempat lagi untuk menempah tiket ke Piala Malaysia yang masih terbuka untuk lima pasukan.

Sabah, Kuala Lumpur, Selangor dan Sarawak kini mengharapkan kemenangan dalam usaha memastikan tiada keciciran dalam perebutan kali ini.

Negeri Sembilan yang bagaikan nasib di hujung tanduk hanya mengharapkan kekalahan besar Sarawak dalam pertemuan dengan Kuala Lumpur setelah sudah menamatkan perlawanan lebih awal daripada pasukan lain.

Dalam kelompok ini pertemuan Sarawak dan Kuala Lumpur turut akan menjadi perhatian apabila masing-masing terpaksa berentap dalam usaha mengelakkan diri daripada tercicir kali ini.

Dengan ketupan mata yang agak seimbang menjadi telahan dalam menentukan pasukan mana yang akan tersingkir dalam persaingan merebut tempat ke Piala Malaysia amat sukar sekali.

Hanya Sabah yang dianggap selesa kerana pertemuan dengan Perlis malam ini di Kota Kinabalu hampir pasti berpihak kepada pasukan tuan rumah.

Ini adalah kerana pasukan Singa Utara yang bakal menjadi penghuni Perdana Dua tahun depan hanya beraksi bagi melangkapkan jadual sahaja selepas beraksi cemerlang musim lalu.




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4KBuniQjq © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan