Jumaat, 31 Mac 2017

Perdana Dua tercemar



ARKIB : 24/04/2003
 
Pengadil dan penjaga garisan cuba menenangkan keadaan setelah Abdul Latif Jusoh (terbaring) dikasari pemain Brunei, Mohd. Saiful Rizal Awang dalam perlawanan di Stadium Sultan Mohamed Ke-iv, Kota Bharu semalam. - Gambar rosni masri.

PERTEMUAN dua pasukan Perdana Dua di antara SKMK Kelantan dan Brunei di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu semalam dicemari oleh beberapa insiden yang hampir mencetuskan pergaduhan dengan menyaksikan tiga pemain dilayangkan kad merah.

Mereka yang dibuang padang ialah Mohd. Saiful Rizal Awang dan Mark William Tomas dari Brunei serta pemain SKMK, Abdul Latif Jusoh. Kehilangan dua pemain bagaimanapun tidak menghalang Brunei untuk mencipta kemenangan 1-0 menerusi tandukan Mohd. Brian Iman pada minit ke-34.

Kekecohan berlaku selepas kejadian siku-menyiku antara Mohd. Saiful dengan Abdul Latif dalam satu perebutan. Beberapa penyokong tuan rumah cuba menyerbu bilik persalinan pasukan pelawat kerana tidak puas hati dengan tindakan Mohd. Saiful tetapi berjaya ditenangkan oleh polis.

Sementara itu, Sapian Wahid mencipta jaringan hatrik untuk membantu Sarawak menang 5-1 ke atas Kelantan pada perlawanan Perdana Satu di Stadium Sarawak, Kuching.

Dua lagi gol tuan rumah disumbangkan oleh Robert Ishun pada minit ke-10 dan Ramles Sari 78 manakala Mohd. Hardi Ahmad menolak masuk gol tunggal Kelantan minit ke-66.

Di Johor Bahru, Johor mengukuhkan kedudukan di tangga pertama apabila menewaskan MPPJ Selangor 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Daniel Watkins menghadiahkan gol kemenangan Johor pada minit ke-42 selepas Mohd. Farid Ideris menjaringkan gol pertama pada minit ke-30. Gol tunggal MPPJ dijaringkan oleh Juan Manuel Arostegui pada minit ke-38.

Sementara itu, jaringan Rosdi Tahir pada minit ke-18 membantu Tentera menang 1-0 ke atas pasukan terbawah liga, TKN Perak di Stadium TLDM, Lumut.

Malangnya, Rosdi dibuang padang pada minit ke-88 kerana berlaku kasar ke atas seorang pemain pelawat.

Negeri Sembilan pula berpesta gol apabila mengalahkan Polis 5-1 di Stadium Selayang.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur menang selesa ke atas Kelantan JPS apabila membenam pasukan pelawat itu 3-1.sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ctsOjQ2Z
© Utusan Melayu (M) Bhd

FAM perkenal Liga Super ganti Perdana Satu, Dua



ARKIB : 14/04/2003
Oleh Johari Shawal

MULAI musim depan, kempen bola sepak Liga Malaysia tidak lagi menggunakan format pertandingan dengan nama Liga Perdana Satu dan Dua sebaliknya memperkenalkan dua liga baru iaitu Liga Super dan Liga Perdana.

Liga Super dianggap kejuaraan liga paling berprestij dalam semua kejohanan domestik selain Piala Malaysia. Ia menggantikan Liga Perdana Satu dan hanya melibatkan lapan pasukan.

Manakala Liga Perdana Satu dan Dua kini ditukar kepada Liga Perdana yang melibatkan 18 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan dengan setiap kumpulan disertai sembilan pasukan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melakukan perubahan itu dengan harapan bola sepak tempatan akan kembali diminati dan menjadi lebih menarik.

Lapan pasukan yang bertarung dalam Liga Super untuk musim 2004 bakal disertai oleh pasukan yang dipilih daripada Liga Perdana Satu dan Dua musim ini.

Enam pasukan teratas yang menamatkan Perdana Satu musim ini akan layak secara automatik ke Liga Super.

Dua lagi pasukan ke Liga Super akan ditentukan menerusi playoff antara tempat ketujuh dan kelapan Perdana Satu dengan juara dan naib juara Perdana Dua musim ini.

Manakala dalam Liga Perdana, dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan bertarung dalam separuh akhir dan akhir untuk menentukan juara Liga Perdana.

Sebelum ini, juara liga Perdana Satu dan Dua ditentukan hanya berdasarkan kepada pasukan paling atas selepas menamatkan semua perlawanan.

Sebanyak 18 pasukan dalam Liga Perdana dibentuk daripada dua pasukan kalah dalam playoff, lima pasukan terbawah Perdana Satu 2003 dan 10 pasukan terbawah dari Perdana Dua 2003. Satu lagi pasukan ialah skuad bawah 20 kebangsaan.

Format pertandingan Liga Super dan Liga Perdana turut diubah dengan perlawanan dilangsungkan sebanyak tiga pusingan iaitu tempat sendiri, tempat lawan dan kembali ke tempat sendiri.

Contohnya, pusingan pertama perlawanan antara Selangor dan Perak dimainkan di Shah Alam dan pusingan kedua di Ipoh dan kedua-dua pasukan akan kembali bertarung dalam pusingan ketiga di Shah Alam. Kutipan tiket untuk ketiga-tiga pusingan itu akan dikongsi bersama oleh kedua-dua pasukan.

Perlawanan playoff untuk Liga Super akan dilangsungkan akhir tahun ini.

Semua perubahan itu pada dasarnya telah dipersetujui oleh Majlis FAM semasa mesyuarat majlis itu di Kuala Lumpur, semalam.

Bagaimanapun, perubahan itu akan diusulkan kepada Kongres FAM yang akan bermesyuarat bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad ketika mengumumkan perkara itu berkata, perubahan itu dibuat bukan sebagai percubaan tetapi sebagai usaha meningkatkan mutu bola sepak tempatan.

``Mungkin ini adalah caranya supaya bola sepak kita boleh meningkat dan maju. Hanya pasukan terbaik layak bertarung dalam Liga Super,'' katanya.

Perubahan lain yang dibuat oleh FAM bermula musim 2004 seperti berikut:

* Piala Malaysia disertai 16 pasukan iaitu lapan pasukan dari Liga Super dan lapan dari Liga Perdana.

* Mereka dibahagikan kepada empat kumpulan dengan setiap kumpulan terdiri empat pasukan.

* Piala Sumbangsih antara juara Piala Malaysia dengan juara Piala FA tidak lagi memperuntukkan mata untuk liga.

* Piala FA disertai 26 pasukan iaitu lapan pasukan dari Liga Super dan 18 pasukan dari Liga Perdana dengan format kalah mati timbal balik.

* Liga FAM ditukar kepada Kejohanan Kelab Perdana yang melibatkan 16 pasukan dengan format pertandingan serupa dengan Liga Perdana.

* Untuk musim 2005, dua pasukan terbawah dari Liga Super turun ke Liga Perdana tetapi semua pasukan layak ke Piala Malaysia.

* Empat pasukan teratas dari setiap kumpulan Liga Perdana layak ke Piala Malaysia.

* Dua pasukan finalis Liga Perdana dinaikkan ke Liga Super.

* Setiap pasukan dibenarkan mendapatkan tiga pemain import.

* Liga Super hanya menggunakan pemain profesional.

* Liga Perdana pula dibenarkan dengan minimum 10 pemain profesional

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ctKdIW3a
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 30 Mac 2017

Perdana Satu tambah menarik



ARKIB : 31/03/2003
Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI

BIAR pun tanpa siaran secara langsung atau rakaman di rangkaian televisyen, Liga Perdana 2003 tetap menarik termasuk saingan yang berlangsung kelmarin.

Pastinya, perebutan tangga teratas liga semakin sengit dengan Perak kini menguasainya menerusi kemenangan 1-0 ke atas Sabah bagi mengumpul keseluruhan 18 mata selepas beraksi dalam lapan perlawanan.

Bagaimanapun, aksi kelmarin tanpa kelibat Perlis yang menduduki tangga ketiga dengan 13 mata tetapi ``Singa Utara'' masih berpeluang menggugat Perak kerana masih kurang dua perlawanan berbanding skuad ``seladang.''

Saingan kelmarin turut menyaksikan kemenangan besar 4-1 Pahang ke atas Johor FC untuk meletakkan skuad ``Tok Gajah'' di tangga kedua dengan 14 mata selepas beraksi dalam tujuh perlawanan.

Hasil jaringan Hairuddin Omar pada minit ke-5 dan 20, Cristiano Da Silva pada minit ke-45 dan Mohd. Fadzli Shaari pada minit ke-73 menyaksikan kebangkitan Pahang yang sebelum ini dikatakan mempamerkan aksi tidak begitu meyakinkan.

Lebih mengejutkan, pasukan tangga tercorot Terengganu mengalahkan juara Piala FA 2002 Pulau Pinang 2-1, sekali gus mencipta kemenangan pertamanya selepas beraksi enam perlawanan.

Namun, kemenangan tersebut tidak mengubah kedudukan Terengganu yang kini baru mengumpul tiga mata untuk terus menghuni tangga terbawah tetapi memberikannya keyakinan moral untuk menghadapi saingan akan datang.

Sekurang-kurangnya Terengganu berpeluang melonjak satu tangga untuk memintas Melaka yang mengumpul empat mata selepas beraksi dalam tujuh perlawanan.

Ini kerana Terengganu masih kurang satu perlawanan dibandingkan dengan Melaka dan hajat tersebut pasti boleh dicapai sekiranya skuad ``Penyu'' terus mencipta kemenangan.

Sarawak pula gagal mencari mata penuh di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Kedah untuk berkongsi 11 mata tetapi kelebihan jaringan meletakkan skuad ``Kenari'' di tangga kelima, satu tangga di hadapan `bujang senang.''

Begitu juga Kelantan yang kini mengumpul 11 mata di tangga ketujuh, semakin memberi cabaran dalam Liga Perdana Satu.

Kemenangan 1-0 ke atas Melaka kelmarin jelas dibantu jaringan sendiri ketua pasukan lawan, Azmil Azali untuk terus memberikan tekanan kepada ``Kancil'' yang sememangnya sudah bermasalah.

Keputusan Datuk Ibrahim Durum meletakkan jawatannya sebagai pengurus skuad Melaka baru-baru ini memberi gambaran betapa pasukan berkenaan kini seolah-olah kehilangan arah.

Ibrahim melepaskan jawatannya kerana kecewa dengan kekalahan berterusan Melaka pasti merasakan keputusannya tepat selepas pasukan berkenaan sekali lagi tewas kepada Kelantan kelmarin.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4co30fZHb
© Utusan Melayu (M) Bhd